Isnin, 26 September 2022 | 4:57pm
Anbalagan menunjukkan gambar penahanan kumpulan samun dikenali Geng Angah pada sidang media di IPD Serdang. - NSTP/Rohanis Shukri
Anbalagan menunjukkan gambar penahanan kumpulan samun dikenali Geng Angah pada sidang media di IPD Serdang. - NSTP/Rohanis Shukri

Kenal di penjara, 4 lelaki teruskan kegiatan jenayah selepas dibebaskan

SERDANG: Bermula dengan perkenalan dalam penjara, empat lelaki meneruskan hubungan mereka selepas selesai menjalani hukuman dan sepakat melakukan jenayah samun kenderaan sebagai sumber pendapatan.

Kegiatan jenayah kumpulan dikenali Geng Angah itu bagaimanapun terbongkar selepas polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang berjaya menahan semua suspek.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, berkata empat suspek berusia 27 hingga 37 tahun itu ditahan menerusi beberapa serbuan pada Khamis dan Jumaat lalu.

Beliau berkata, sebelum itu pihaknya menerima laporan kejadian samun dan melarikan kereta Honda City di hadapan sebuah restoran di Bandar Puchong Jaya di sini, pada 20 September lalu.

"Mangsa mendakwa didatangi tiga lelaki menaiki PROTON Persona dan bersenjatakan parang. Suspek mengarahkan mangsa keluar daripada kenderaan lalu melarikan kenderaan itu menyebabkan mangsa kerugian RM80,000.

"Hasil maklumat dan risikan, polis menahan empat lelaki di sekitar Dang Wangi dan Petaling Jaya," katanya pada sidang media di IPD Serdang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anbalagan berkata, penahanan suspek itu membawa kepada rampasan lapan telefon bimbit, empat beg silang, komputer riba, rantai emas, parang dan tiga kereta masing-masing PROTON Persona, Honda City serta Hyundai Sonata membabitkan nilai rampasan RM250,000.

Anbalagan menunjukkan sebilah parang, beg silang dan telefon bimbit yang dirampas susulan penahanan kumpulan samun Geng Angah pada sidang media di IPD Serdang. - NSTP/Rohanis Shukri
Anbalagan menunjukkan sebilah parang, beg silang dan telefon bimbit yang dirampas susulan penahanan kumpulan samun Geng Angah pada sidang media di IPD Serdang. - NSTP/Rohanis Shukri

"Hasil soal siasat, suspek melakukan jenayah menggunakan kereta sewa bercermin gelap dan menyasarkan mangsa yang mahu meletakkan kenderaan di kawasan parkir.

"Suspek kemudian mengacukan parang sebelum melarikan kenderaan dan barang berharga milik mangsa. Suspek juga memakai topi dan pelitup muka bagi mengelak wajah mereka dikenali mangsa.

"Kumpulan itu aktif melakukan jenayah berkenaan di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lalu," katanya.

Anbalagan berkata, ujian saringan air kencing mendapati keempat-empat suspek positif dadah jenis methamphetamine dan memiliki pelbagai rekod jenayah lampau termasuk dadah.

Katanya, polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun dan melarikan kenderaan susulan penahanan semua suspek terbabit.

Semua suspek direman lima hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X