Jumaat, 23 September 2022 | 10:57am

Sanggup keluar modal besar ubah suai motosikal bagi joki lumba haram

GEORGETOWN: Pemilik motosikal termasuk golongan profesional sanggup berhabis sehingga RM8,000 bagi mengubah suai motosikal mereka untuk kegunaan 'joki' dalam perlumbaan haram.

Demikian pendedahan pemilik bengkel yang enggan dikenali, ketika ditemui di Tanjung Bungah di sini, semalam.

Pemilik bengkel itu berkata, ubah suai motosikal berkenaan adalah bagi memastikan keupayaan serta kelajuan motosikal mereka dapat mengatasi pelumba lain.

Katanya, kebanyakan pemilik motosikal itu berusia 40 tahun ke atas, bekerjaya dan sudah berumahtangga.

"Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional dan sanggup melaburkan ribuan ringgit supaya motosikal mereka digunakan joki dalam perlumbaan haram.

"Ia menjadi satu kepuasan sekiranya motosikal mereka menang dalam perlumbaan itu," katanya, di sini.

Mengulas lanjut pemilik bengkel itu berkata, dia yang sudah berkecimpung dalam dunia pemotoran dan mengusahakan bengkel sejak 13 tahun lalu, sudah faham dengan kehendak pelanggan.

"Pada masa ini, motosikal jenis Yamaha Y15 dan 125 Z menjadi kegilaan mat rempit.

"Golongan muda tidak mampu melaburkan duit sebanyak itu dan mereka hanya mengubah suai barang yang penting sahaja," katanya lagi.

Menurut pemilik bengkel, dia tidak tahu sama ada motosikal yang mahu diubah suai itu digunakan bagi kegiatan lumba haram atau sekadar hobi.

Dia memperoleh alat ganti tulen daripada kedai lain dan hanya mengambil upah memasang alat ganti itu.

"Bukan semua pemilik mengubah motosikal bagi tujuan lumba tetapi ada yang berbuat demikian untuk kepuasan dan hobi," katanya lagi.

Pemilik bengkel berkenaan ditemui dalam operasi bersepadu yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Dalam operasi itu, sebanyak dua bengkel diperiksa kerana disyaki terbabit dengan kerja ubah suai motosikal bagi lumba haram dan aktiviti rempit.

Premis berkenaan adalah antara 21 bengkel di daerah Timur Laut, Barat Daya dan Seberang Perai Selatan yang diperiksa menerusi operasi bersepadu yang dijalankan di negeri ini.

Anggota polis melakukan pemeriksaan ketika operasi bersepadu pemeriksaan bengkel motosikal di Tanjung Bungah di sini. Dalam operasi polis bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyerbu 21 bengkel membabitkan daerah Timur Laut, Barat Daya dan Seberang Perai Selatan, hasil risikan terbabit dalam aktiviti pengubahsuaian motosikal bagi tujuan lumba haram. - Foto DANIAL SAAD
Anggota polis melakukan pemeriksaan ketika operasi bersepadu pemeriksaan bengkel motosikal di Tanjung Bungah di sini. Dalam operasi polis bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyerbu 21 bengkel membabitkan daerah Timur Laut, Barat Daya dan Seberang Perai Selatan, hasil risikan terbabit dalam aktiviti pengubahsuaian motosikal bagi tujuan lumba haram. - Foto DANIAL SAAD
Berita Harian X