Rabu, 21 September 2022 | 6:50pm
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid (dua dari kiri) bersama dadah dan wang tunai yang dirampas daripada kedua-dua suspek. - Foto ihsan Polis
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid (dua dari kiri) bersama dadah dan wang tunai yang dirampas daripada kedua-dua suspek. - Foto ihsan Polis

Dua penagih dadah ditahan edar ganja, pil yaba

KUALA LUMPUR: Polis merampas 31.3 kilogram (kg) ganja, 184 pil yaba serta syabu seberat 130 (g) dianggarkan bernilai RM91,610 daripada dua lelaki dalam dua serbuan berasingan di Damansara dan Damansara Perdana, Petaling Jaya, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata kejayaan itu hasil serbuan ke atas sebuah kereta dipandu seorang lelaki di tempat letak kereta sebuah apartmen di Damansara pada jam 5.30 petang, 13 September lalu.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan di dalam kereta, menemui satu kotak pada but kereta mengandungi 31 ketulan mampat berbalut kertas dan pita pelekat dianggarkan seberat 31.3 kg.

"Semakan mendapati suspek, lelaki tempatan berusia 40 tahun mempunyai sejarah penagihan dadah kira-kira 20 tahun dan mula mengedar dadah sejak sebulan lalu.

"Ujian saringan awal urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan rekod menunjukkan suspek mempunyai sembilan rekod lampau berkait dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, hasil soat siasat ke atas suspek pertama, polis menahan suspek kedua berusia 31 tahun di sebuah apartmen di Damansara Perdana pada jam 6 petang, hari sama.

"Pemeriksaan di kediaman suspek, menemui satu paket plastik mengandungi 184 pil disyaki pil yaba seberat 19 gram dan tiga paket plastik berisi dadah disyaki syabu serta satu alat penimbang digital.

"Polis turut merampas satu rantai emas, sebuah kereta jenis Honda City serta wang tunai RM34,500 daripada suspek," katanya yang memaklumkan ujian awal saringan urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Siasatan mendapati suspek sudah terbabit dengan penagihan dadah selama lapan tahun dan mengedar dadah sejak tiga bulan lalu.

"Semakan pula mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan dadah," katanya.

Menurut Mohamad Fakhrudin, keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM91,610 manakala nilai sitaan dianggarkan RM101,900 dengan kedua-dua suspek dipercayai aktif mendalangi kegiatan pengedaran dadah di sekitar Petaling Jaya.

"Mereka direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan.

"Dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada kira-kira 31,300 penyalahguna dadah," katanya.

Berita Harian X