Khamis, 25 Ogos 2022 | 2:07pm
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat (tiga dari kiri) menunjukkan rampasan dadah yang dibuat dalam dua serbuan di sekitar Johor Bahru semalam. - Foto NSTP/Izz Laily Hussein
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat (tiga dari kiri) menunjukkan rampasan dadah yang dibuat dalam dua serbuan di sekitar Johor Bahru semalam. - Foto NSTP/Izz Laily Hussein

Pelanggan pusat hiburan nikmati dadah dalam pek jus

JOHOR BAHRU: Polis Johor menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan taktik membungkus semula bahan terlarang itu ke dalam pek jus minuman khususnya untuk pelanggan pusat hiburan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata taktik itu terbongkar apabila pihaknya melakukan dua serbuan sekitar daerah ini, antara 2.30 pagi hingga 5 pagi semalam.

Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

"Modus operandi kegiatan pengedaran dadah ini adalah dengan menyewa pangsapuri mewah yang berpagar dan mempunyai pengawal keselamatan untuk dijadikan tempat penyimpanan dadah.

"Hasil siasatan kita mendapati bekalan dadah akan dibungkus semula ke dalam pek jus minuman yang mana dalam pek ini mengandungi dadah jenis syabu dan ketamin sebelum dijual di pusat hiburan di sekitar bandar raya ini pada harga RM250 bagi satu pek," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, pihaknya turut merampas 3.91 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 153 gram syabu, 276g ketamin, 759 biji pil eramin 5 seberat 159 gram dan 123 biji pil ektasi seberat 37 gram yang keseluruhan bernilai RM266,375.

Beliau berkata, dadah yang dirampas itu boleh digunakan seramai 22,653 penagih sekiranya terlepas ke pasaran.

Selain itu, katanya, polis turut merampas dan menyita dua kereta bernilai RM111,000, wang tunai RM4,100 dan satu loket emas bernilai RM1,200.

Kamarul Zaman berkata, sindiket itu dipercayai sudah melakukan jenayah itu sejak Mei lalu dan pihaknya masih mengesan sekiranya terdapat dalang atau individu lain yang terbabit.

"Hasil saringan awal air kencing suspek mendapati dia negatif daripada sebarang jenis dadah, namun hasil semakan pula mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

"Suspek direman tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sebagai rekod, Kamarul Zaman berkata, sejak Januari hingga semalam, Polis Johor membuat tangkapan ke atas seramai 9,366 individu atas kesalahan dadah dan membuat rampasan dadah sebanyak 2.59 tan.

Katanya, keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM16.62 juta dan nilai keseluruhan harta sitaan setakat ini bernilai RM6.82 juta.

Berita Harian X