Jumaat, 19 Ogos 2022 | 11:52am
Tangki tambahan ditemukan dalam lori dipandu seorang lelaki ketika serbuan di sebuah stesen minyak di Ulu Tiram, dipercayai digunakan untuk menyeleweng diesel subsidi. - Foto ihsan polis
Tangki tambahan ditemukan dalam lori dipandu seorang lelaki ketika serbuan di sebuah stesen minyak di Ulu Tiram, dipercayai digunakan untuk menyeleweng diesel subsidi. - Foto ihsan polis

Pemandu lori ditahan seludup diesel subsidi

JOHOR BAHRU: Tindakan mencurigakan seorang lelaki ketika mengisi diesel ke dalam lori dipandunya di sebuah stesen minyak di Ulu Tiram, di sini, membawa padah apabila dia ditahan kerana menyeleweng bahan api subsidi itu.

Suspek berusia 36 tahun ditahan sepasukan anggota polis selepas mengesan tangki minyak yang sudah diubahsuai pada lori terbabit ketika serbuan dilakukan jam 12.30 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata pemeriksaan turut menemukan dua tong berisi diesel dianggarkan 200 liter setiap satu di bahagian belakang kenderaan berat itu.

"Berdasarkan siasatan itu, kita mengesyaki lelaki terbabit menjalankan aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi, sebelum dia ditahan untuk tindakan lanjut.

"Kita turut merampas lori dipandunya bersama dua tong diesel dianggarkan berisi 272.93 liter serta sehelai resit pembelian bahan api subsidi itu berjumlah RM186," katanya mengesahkan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM20,500.

Mohd Sohaimi berkata, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod

jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Berita Harian X