Selasa, 16 Ogos 2022 | 11:14am
Seorang anggota penguat kuasa KPDNHEP Pahang menunjukkan tangki keluli untuk mengisi diesel dalam sebuah lori di Kuantan. - Foto ihsan KPDNHEP Pahang
Seorang anggota penguat kuasa KPDNHEP Pahang menunjukkan tangki keluli untuk mengisi diesel dalam sebuah lori di Kuantan. - Foto ihsan KPDNHEP Pahang

Cubaan seleweng 900 liter diesel gagal

KUANTAN: Seorang lelaki ditahan bersama sebuah lori muatan tiga tan dipercayai terbabit dalam kegiatan penyelewengan diesel di sebuah stesen minyak di Jalan Beserah, di sini semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Datuk Mark Ujin, berkata lelaki berumur 48 tahun ditahan ketika mengisi diesel di stesen terbabit pada jam 12.30 tengah hari.

Katanya, penahanan dilakukan selepas lori terbabit didapati mengisi diesel dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan lanjut ke atas lori itu menemukan satu tangki keluli tambahan yang diubah suai di dalam bahagian kabin belakang kenderaan itu.

"Turut ditemukan sebuah pam yang dipercayai digunakan untuk menyedut diesel yang dibeli di stesen minyak ke dalam tangki keluli yang telah diubah suai itu.

"KPDNHEP Pahang bertindak menyita lori itu bersama diesel yang dianggarkan 900 liter dan menahan seorang lelaki yang juga pemandu lori untuk tujuan siasatan lanjut.

"Kertas siasatan dibuka dan kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kes penyelewengan diesel itu adalah kes kedua bulan ini selepas dikesan di sebuah stesen minyak di Indera Mahkota, di sini pada 2 Ogos lalu.

Kes itu membabitkan dua lelaki ditahan bersama sebuah lori muatan tujuh tan membabitkan 1,000 liter sudah diisi ke dalam tangki.

Mark berkata anggota penguat kuasa KPDNHEP Pahang sentiasa menjalankan pemantauan di stesen minyak di negeri ini, termasuk sekitar Kuantan.

Katanya, langkah itu dalam usaha mencegah aktiviti penyelewengan minyak petrol dan diesel sekali gus mencegah ketirisan subsidi kerajaan.

"Oleh itu, KPDNHEP meminta orang ramai yang mempunyai maklumat sebarang aktiviti mencurigakan melaporkan kepada kementerian," katanya.

Berita Harian X