Khamis, 11 Ogos 2022 | 10:48am
Tangkap layar kes ragut di Lorong Songkit 3, Taman Sentosa, Johor Bahru yang tular di media sosial. - VIDEO TULAR
Tangkap layar kes ragut di Lorong Songkit 3, Taman Sentosa, Johor Bahru yang tular di media sosial. - VIDEO TULAR

Suspek kes ragut tular di Taman Sentosa ditahan polis

JOHOR BAHRU: Penunggang motosikal yang disyaki meragut beg tangan seorang wanita di Lorong Songkit 3, Taman Sentosa, di sini, berjaya ditahan polis, tidak lama selepas rakaman video jenayah berkenaan tular di media sosial.

Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di sebuah rumah di kawasan Taman Molek, di sini, sekitar jam 1.30 petang semalam, kira-kira 24 jam selepas polis menerima laporan daripada mangsa.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata polis turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan suspek ketika melakukan ragut serta barang-barang disyaki hasil ragut.

"Kita merampas empat telefon bimbit, beg silang, resit-resit, topi keledar berwarna hitam, jaket lengan panjang warna kuning, seluar panjang dan pendek, selipar serta sebuah motosikal jenis Honda Dash 125 berwarna jingga," katanya, hari ini.

Asisten Komisioner Raub Selamat.
Asisten Komisioner Raub Selamat.

Raub berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah berkaitan samun dan pecah rumah dan turut berada dalam senarai dikehendaki polis.

Katanya, susulan penahanan suspek, polis percaya berjaya menyelesaikan tiga kes ragut di sekitar kawasan Johor Bahru.

Terdahulu, video berdurasi 30 saat tular di media sosial memaparkan dua wanita sedang berjalan di sebuah lorong sambil mengangkat barang sebelum didatangi sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki.

Penunggang motosikal terbabit kemudian meragut beg tangan milik seorang daripada wanita berkenan sebelum memecut meninggalkan lokasi dan gagal dikejar mangsa.

Raub berkata, polis menerima laporan dibuat mangsa kejadian yang berusia 47 tahun pada jam 12.33 tengah hari kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

"Kejadian pada jam 9.10 pagi kelmarin ketika mangsa berjalan dengan seorang lagi wanita sebelum didatangi suspek. Lelaki memakai jaket berwarna kuning dan menaiki motosikal berwarna jingga, datang ke arah mangsa dan terus meragut beg tangan sebelum melarikan diri," katanya.

Berita Harian X