Isnin, 8 Ogos 2022 | 4:34pm
Tangki pada bahagian belakang lori yang diubahsuai untuk mengisi diesel. - Foto ihsan KPDNHEP
Tangki pada bahagian belakang lori yang diubahsuai untuk mengisi diesel. - Foto ihsan KPDNHEP

Penguat kuasa sita diesel

KUALA KRAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggagalkan cubaan menyeleweng minyak diesel menggunakan lori tangki minyak sawit, di sini, petang semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Aswadi Jaafar, berkata cubaan berkenaan dipatahkan menerusi Operasi Bersepadu bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Tok Bali dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai.

Katanya, hasil maklumat risikan, pasukan operasi KPDNHEP bersama polis mengesan pergerakan sebuah lori tangki minyak sawit di Jalan Kota Bharu - Gua Musang.

"Anggota menahan lori berkenaan di Kuala Krai dan pemeriksaan mendapati lori tangki minyak sawit itu membawa diesel disyaki untuk tujuan diselewengkan.

"Siasatan awal mendapati bekalan diesel berkenaan diperolehi secara belian di stesen-stesen minyak di sekitar Kelantan dan Terengganu. Bahagian tangki belakang lori juga sudah diubah suai untuk mengisi diesel," katanya di sini, hari ini.

Tangki pada bahagian belakang lori yang diubahsuai untuk mengisi diesel.- Foto ihsan KPDNHEP
Tangki pada bahagian belakang lori yang diubahsuai untuk mengisi diesel.- Foto ihsan KPDNHEP

Aswadi berkata, pasukan operasi menyita barang bersubsidi, iaitu minyak diesel yang dianggarkan sebanyak 30,000 liter, selain merampas sebuah lori bersama tangki dengan jumlah keseluruhan rampasan RM400,000.

"Dua suspek lelaki warga tempatan berusia 39 dan 41 tahun ditahan dan direman selama empat hari untuk membantu siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Berita Harian X