Sabtu, 30 Julai 2022 | 3:33pm
Jeram Wong Pelagus dikenalpasti jeram paling bahaya di Sarawak sejak lima dekad lalu. - Foto hiasan
Jeram Wong Pelagus dikenalpasti jeram paling bahaya di Sarawak sejak lima dekad lalu. - Foto hiasan

Dua hilang, perahu karam di Wong Pelagus

KUCHING : Dua lelaki dikhuatiri lemas selepas perahu yang mereka naiki karam di jeram Wong Pelagus, Sungai Batang Rajang di Kapit, semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya hanya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 11.35 pagi, hari ini.

Menurutnya, sejurus menerima maklumat itu, dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit bersama anggota polis bergerak ke lokasi yang mengambil masa dua jam perjalanan menaiki bot dari pekan Kapit.

"Menurut saksi, kejadian itu berlaku pada jam 4.30 petang semalam ketika dia bersama dua mangsa dalam perjalanan dari rumah panjang di Nanga Pelagus untuk menjala ikan.

"Saksi terbabit dalam laporannya memaklumkan, sebelum melalui kawasan jeram itu dia diarahkan oleh datuknya, Ngalang Demongvdan dan bapa saudaranya, Richelles Seli Lasu supaya turun dari perahu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, saksi terbabit kemudian berjalan mengikut laluan pejalan kaki di tebing sungai manakala datuk dan bapa saudaranya mengharungi jeram dengan bergerak menggunakan perahu.

"Ketika cuba melalui jeram itu, saksi melihat perahu yang datuk dan bapa saudaranya naiki karam dan kedua-dua mangsa hilang dibawa arus deras," katanya.

Menurutnya lagi, gerakan awal mencari dan menyelamat dilakukan oleh penduduk kampung, bagaimanapun kedua-dua mangsa gagal ditemui.

Jeram Wong Pelagus dikenalpasti jeram paling bahaya di negeri ini dan sejak lima dekad lalu sudah meragut puluhan nyawa penduduk apabila perahu mereka karam ketika melalui kawasan itu.

Berita Harian X