Jumaat, 22 Julai 2022 | 2:22pm
Sebahagian dadah heroin dan syabu yang dirampas selepas polis menahan penganggur berusia 50 tahun di Kampung Berjaya Mukim Kedawang, Langkawi. - Foto NSTP/Ihsan Polis
Sebahagian dadah heroin dan syabu yang dirampas selepas polis menahan penganggur berusia 50 tahun di Kampung Berjaya Mukim Kedawang, Langkawi. - Foto NSTP/Ihsan Polis

Tokan dadah ditahan ketika tunggu pelanggan

LANGKAWI: Seorang lelaki disyaki tokan dadah yang menjalankan pengedaran di Kampung Berjaya Mukim Kedawang di sini, di tahan di tepi jalan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Langkawi, penganggur berusia 50 tahun itu ditahan jam 10 malam.

"Terdahulu sepasukan polis yang menjalankan Op Tapis terserempak dengan seorang lelaki yang mencurigakan di tepi dinding batu sebuah premis di kampung itu.

"Suspek dipercayai pengedar dadah dan ditahan ketika menunggu pelanggan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Shariman berkata, pemeriksaan menemukan tujuh peket plastik lutsinar berisi serbuk disyaki dadah jenis heroin seberat 212.96 gram (g) dan syabu 61g," katanya.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek yang juga penduduk tempatan positif dadah jenis morfin.

"Suspek kini ditahan reman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Berita Harian X