Khamis, 21 Julai 2022 | 5:36pm
Anggota KPDNHEP Cawangan Manjung menunjukkan lori yang ditahan bersama tangki tambahan yang digunakan untuk mengisi diesel tanpa kebenaran di Segari, Manjung. - Foto ihsan KPDNHEP.
Anggota KPDNHEP Cawangan Manjung menunjukkan lori yang ditahan bersama tangki tambahan yang digunakan untuk mengisi diesel tanpa kebenaran di Segari, Manjung. - Foto ihsan KPDNHEP.

2 pemandu lori dicekup seleweng, isi diesel dalam tong

MANJUNG: Dua pemandu lori ditahan selepas disyaki menyeleweng diesel subsidi dengan mengisi bahan api dalam tong tanpa kebenaran di sebuah stesen minyak di Segari, di sini, malam tadi.

Kedua-dua mereka berusia 31 dan 56 tahun ditahan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Manjung jam 8.20 malam ketika mengisi diesel terbabit dalam tong di belakang lori tanpa kebenaran.

Pengarah KPDNHEP negeri, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, operasi dilakukan hasil aduan dan maklumat awam mengenai aktiviti pembelian barang kawalan diesel bersubsidi menggunakan selain tangki kenderaan di stesen minyak itu.

Katanya, pemerhatian mendapati dua lori berpendaftaran tempatan mengunjungi stesen minyak berkenaan untuk membeli bekalan diesel dan diisi dalam tong yang diletakkan di belakang kenderaan itu.

"Pasukan serbuan menahan kedua-dua lelaki terbabit bersama lori dan hasil awal mendapati mereka tidak mempunyai sebarang kebenaran bertulis untuk membeli barang kawalan petrol atau diesel dalam kuantiti banyak daripada Pengawal Bekalan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menyita dua lori serta 2,706 liter diesel yang keseluruhannya bernilai RM57,817.90.

"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"KPDNHEP memberi amaran serius kepada mana-mana pihak yang mahu mendapatkan bekalan barang kawalan bersubsidi untuk kegunaan industri perlu membuat permohonan di pejabat KPDNHEP berhampiran," katanya.

Berita Harian X