Jumaat, 15 Julai 2022 | 9:56am
Sebahagian tangki yang dipercayai digunakan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah stor haram di Kampung Bemban Hilir Seremban.- Foto Ihsan KPDNHEP Negeri Sembilan.
Sebahagian tangki yang dipercayai digunakan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah stor haram di Kampung Bemban Hilir Seremban.- Foto Ihsan KPDNHEP Negeri Sembilan.

Stor simpan diesel bersubsidi diserbu

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan berjaya mematahkan sindiket penyelewengan diesel, susulan serbuan di stor haram di Kampung Bemban Hilir, di sini semalam.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP negeri, Abd Muis Samsudin, berkata serbuan pada 5.30 petang itu menemukan 31,215 liter diesel bersubsidi dan menahan empat lelaki tempatan berusia antara 29 hingga 42 tahun.

Beliau berkata, ketika serbuan suspek sedang menjalankan kerja pemindahan minyak diesel daripada sebuah motolori tangki dan sebuah motolori bonded yang diubah suai ke dalam tangki minyak di stor berkenaan.

Katanya, kesemua suspek cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap pasukan serbuan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 11 unit tangki petak dan sebuah skid tank yang berisi dengan minyak diesel, dipercayai telah dipindahkan daripada lori berkenaan melalui hos.

"Semakan yang dilakukan turut mendapati, premis berkenaan tidak mempunyai lesen sah atau apa-apa dokumen kebenaran daripada pengawal bekalan untuk menjalankan urusan barang kawalan bersubsidi diesel.

"Kesemua diesel, tangki dan dua lori disita dengan nilai rampasan berjumlah RM269,912.25," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abd Muis berkata, serbuan itu hasil risikan susulan aduan mengenai kegiatan pembelian diesel di stesen minyak sekitar Seremban.

"Mereka disyaki melakukan aktiviti penghantaran dan penyimpanan di stor itu kerana kedudukannya dan sudah beroperasi sejak enam bulan lalu," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan serta Seksyen 20 (1) akta yang sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan.

Berita Harian X