Khamis, 7 Julai 2022 | 5:12pm
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim (tengah) menunjukkan pistol dan dadah yang dirampas pada sidang media kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah serta rampasan pelbagai jenis dadah dan sepucuk pistol bernilai RM1.06 juta di Lembah Klang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. - Foto ASWADI ALIAS
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim (tengah) menunjukkan pistol dan dadah yang dirampas pada sidang media kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah serta rampasan pelbagai jenis dadah dan sepucuk pistol bernilai RM1.06 juta di Lembah Klang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. - Foto ASWADI ALIAS

4 ahli kongsi gelap 'tokan dadah' Lembah Klang ditahan

KUALA LUMPUR: Empat lelaki ahli kumpulan kongsi gelap Geng 36 dan Geng 24, yang terbabit aktiviti pengedaran dadah sejak lima bulan lalu, ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini.

Keempat-empat suspek ditahan dalam tiga serbuan berasingan di tempat letak kereta sebuah kondominium di Segambut, tempat letak kereta Kompleks Dutamas dan satu unit kondominium di Taman Sri Ukay, Ampang dalam operasi kelmarin dan semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata dalam serbuan itu pihak polis merampas dadah jenis ganja, syabu, pil estacy dan ibu heroin yang dianggarkan bernilai RM1.06 juta.

"Serbuan pertama, kita menahan seorang lelaki berusia 26 tahun di kawasan parkir sebuah kondominium serta merampas 3,000 biji pil ekstasi dan wang tunai RM500.

"Hasil soal siasat, kita menahan seorang lagi lelaki berusia 27 tahun di kawasan parkir di sebuah kompleks beli belah di Dutamas, sebelum merampas 10.14 kilogram (kg) dadah jenis heroin," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Azmi berkata, serbuan ketiga dibuat ke atas satu unit kondominium membawa kepada penangkapan dua lelaki berusia 29 dan 31 tahun di Ampang.

"Dalam serbuan itu, kita merampas 142.02 kg dadah ganja, 15.12 kg syabu dan heroin base seberat 785 gram serta sepucuk pistol revolver bersama sembilan butir peluru hidup," katanya.

Beliau berkata, sindiket itu menjadikan kondominium yang dikawal oleh pengawal keselamatan sebagai lokasi penyimpanan dadah bagi menyukarkan dikesan pihak berkuasa.

"Semakan lanjut mendapati tiga daripada empat suspek ini memiliki rekod jenayah termasuk dua daripada mereka masih disenarai sebagai orang yang dikehendaki polis berhubung kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Mereka ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960," katanya.

Azmi berkata, senario pengedaran dadah dilihat membimbangkan apabila pihaknya berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah bersama rampasan senjata api.

"Sejak awal tahun sehingga hari ini, sebanyak lima laras senjata api pelbagai jenis dirampas dan kita akan terus berusaha dengan penuh komited untuk membanteras jenayah ini daripada terus berleluasa," katanya.

Berita Harian X