X
Khamis, 7 Julai 2022 | 1:06pm
Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan, Ariffin Samsudin (kiri) menunjukkan lori yang telah diubahsuai untuk menyimpan minyak diesel bersubsidi setelah membuat serbuan ke atas sebuah stor haram di Taman Perindustrian Perdana, Bukit Palong, Lukut. - Foto NSTP/Azrul Edham
Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan, Ariffin Samsudin (kiri) menunjukkan lori yang telah diubahsuai untuk menyimpan minyak diesel bersubsidi setelah membuat serbuan ke atas sebuah stor haram di Taman Perindustrian Perdana, Bukit Palong, Lukut. - Foto NSTP/Azrul Edham

Beli di KL, seleweng di Lukut

NILAI: Sindiket penyelewengan diesel bersubsidi dikesan sanggup buat perjalanan sejauh 120 kilometer dari Lukut, Port Dickson semata-mata untuk membeli bahan api berkenaan di 16 stesen minyak di ibu negara.

Modus operandi terbaru itu dilakukan sindiket dipercayai cuba mengaburi mata pihak berkuasa kononnya taktik itu sukar dikesan kerana merentas dua negeri.

Bagaimanapun, kegiatan sindiket yang menjual semula diesel pada harga industri ditumpaskan dalam serbuan Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sebuah stor haram di Lukut, 4 Julai lalu.

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin, berkata dalam serbuan berkenaan, pihaknya menemui diesel sebanyak 10,200 liter dianggarkan bernilai RM21,930 dan menahan empat lelaki berusia dari 30 hingga 45 tahun.

"Hasil risikan selama dua minggu, lori ini membeli diesel di stesen minyak di ibu negara dan membawanya ke Lukut dan disimpan di sebuah stor haram di Lukut.

"Hasil pemeriksaan lanjut kami turut menyita dua lori tangki, sebuah lori bonded, satu pam dan tiga hos minyak. Jumlah keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM123,000," katanya pada sidang media di Kompleks Penyimpanan KPDNHEP Negeri Sembilan, semalam.

Ariffin (kiri) menunjukkan minyak diesel bersubsidi yang dirampas setelah membuat serbuan ke atas sebuah stor haram di Taman Perindustrian Perdana, Bukit Palong, Lukut. - Foto NSTP/ Azrul Edham
Ariffin (kiri) menunjukkan minyak diesel bersubsidi yang dirampas setelah membuat serbuan ke atas sebuah stor haram di Taman Perindustrian Perdana, Bukit Palong, Lukut. - Foto NSTP/ Azrul Edham

Beliau berkata, maklumat awal yang mendapati lori bonded berkenaan memberi diesel bersubsidi di 16 stesen minyak di sekitar Kuala Lumpur dalam kuantiti banyak.

"Lori ini akan membeli minyak dalam masa dua hari sekali dengan kuantiti pembelian mencecah lebih 6,000 liter sehari atau berharga RM13,000 yang dibayar secara tunai.

"Sindiket membeli diesel di luar Negeri Sembilan selain pemandunya sangat berhati-hati dengan melalui jalan yang agak sunyi sejauh 120 kilometer bagi mengelak daripada diekori pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, sindiket ini melakukan kesalahan menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa memiliki lesen sah dan disyaki menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dibenarkan.

"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001)," katanya.

Ariffin berkata, perbezaan harga diesel bersubsidi di stesen minyak dengan diesel industri melebihi RM3 seliter dan ini menjadi faktor utama sindiket mengambil kesempatan mengaut keuntungan.

Berita Harian X