Isnin, 4 Julai 2022 | 8:40pm
Rumah suspek yang kelar isteri dan anak sehingga maut di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru. - NSTP/Izz Laily Hussein
Rumah suspek yang kelar isteri dan anak sehingga maut di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru. - NSTP/Izz Laily Hussein

'Kau apa hal?'

JOHOR BAHRU: Suspek yang kelar isteri dan anak lelaki sehingga maut dikatakan menengking mangsa dan mengheretnya keluar di pintu rumah di Kampung Bakar Batu, di sini, petang tadi.

"Kau apa hal?". Itu jeritan terakhir suspek berusia 25 tahun yang didengar jiran suspek, Ahmad Zaini Ismail.

Menurut Ahmad Zaini, 39, yang berada di rumahnya yang berhadapan rumah pasangan itu, terdengar jeritan lelaki itu dipercayai ditujukan kepada mangsa.

"Ketika itu saya di depan rumah, memang saya dengar suara lelaki berkenaan (suspek) menjerit," katanya yang masih terkejut dengan kejadian malang menimpa jirannya.

Ahmad Zaini yang bekerja sebagai mekanik, pada jam 3 petang semalam, dia ada membaiki kereta di rumah suspek dan ketika itu suspek berkelakuan biasa sambil mendukung anak lelakinya yang berusia dua bulan itu.

Ahmad Zaini Ismail. - NSTP/Izz Laily Hussein
Ahmad Zaini Ismail. - NSTP/Izz Laily Hussein

"Saya nampak dia biasa saja, kami ada berbual ketika itu, saya tidak menjangka lain pula hari ini," katanya.

Sementara itu, anak Ahmad Zaini, Mohd Noor Haikal, 14, pula berkata, dia yang turut berada di hadapan rumah sebelum ke sekolah dan melihat suspek mengheret isterinya berusia 26 tahun dari dalam rumah.

Beliau mendakwa mangsa ketika itu dipercayai sudah tidak bergerak dan berlumuran darah sebelum ditinggalkan suspek di hadapan pintu rumah.

"Saya kemudian dengar anak mereka menangis dan nampak suspek masuk ke dalam rumah mengambil anaknya berusia dua bulan dan kemudian meletakkan bayi itu di tepi ibunya.

"Saya nampak suspek pegang pisau pemotong daging, tetapi saya takut dan terus bergerak menaiki motosikal bersama abang saya untuk ke sekolah.

"Saya tidak mahu masuk campur, tetapi saya tidak sangka anak mereka juga turut dicederakan," katanya.

Sementara itu, Rosimawati Ramli, 36, yang juga pemilik warung sarapan pagi di hadapan lokasi kejadian berkata, suspek ada datang ke warung itu untuk bersarapan kira-kira 7 pagi semalam dan turut membayar makanan pelanggan lain.

Rosimawati Ramli. - NSTP/Izz Laily Hussein
Rosimawati Ramli. - NSTP/Izz Laily Hussein

"Saya terkejut dia kata nak belanja pelanggan lain sebab dia tak pernah buat begitu walaupun dia seorang yang baik dan harga makanan nasi lemak dan lontong yang dibeli pelanggan yang ada ketika itu di bayar ialah RM20," katanya.

Suspek lelaki berusia 25 tahun itu kemudian ditahan polis kira-kira jam 2.45 petang tadi di kawasan Permas Jaya.

Terdahulu, gambar dan video suspek menaiki motosikal dalam keadaan berbogel tular di media sosial dipercayai ketika melarikan diri sejurus insiden kelar terbabit.

Berita Harian X