Jumaat, 1 Julai 2022 | 8:44pm

Surau berusia 30 tahun terbakar

KUALA NERUS: Surau Al-Abrar, Kampung Tanjung Batu Rakit, di sini, yang berusia 30 tahun musnah dalam kebakaran di sini, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu disedari penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan berkenaan selepas menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran.

Panik melihat kepulan asap dari surau berkenaan, penduduk lantas menghubungi pihak bomba bagi memadamkan kebakaran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Azmi Omar, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 2.14 petang sebelum tiga jentera dari BBP Kuala Nerus dan Kuala Terengganu bersama 12 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba, api didapati sedang marak membakar surau yang mampu menampung kira-kira 1,000 jemaah pada satu-satu masa.

"Kebakaran menyebabkan surau separuh kekal itu mengalami kerosakan hampir 80 peratus namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Operasi pemadaman tamat jam 4.25 petang dan punca kerugian serta nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Surau Al-Abrar, Zakaria Embong, berkata kebakaran itu membabitkan kerugian lebih RM200,000 selepas sebahagian besar struktur surau musnah.

"Walaupun sedih dengan kejadian ini, saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.

"Tak dapat saya bayangkan ia berlaku ketika jemaah berada di dalam surau berkenaan.

"Pagi tadi, kami memang ada program pengagihan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik dan program itu selesai jam 12 tengah hari namun berselang dua jam, kami dikejutkan dengan kejadian ini," katanya.

Keadaan Surau Al-Abrar Kampung Tanjung Batu Rakit yang musnah dalam kebakaran. NSTP/ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Keadaan Surau Al-Abrar Kampung Tanjung Batu Rakit yang musnah dalam kebakaran. NSTP/ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Berita Harian X