Jumaat, 1 Julai 2022 | 1:27pm

Ketua sindiket, suami isteri dipercayai edar ganja ditahan

KEPALA BATAS: Polis menahan tiga individu termasuk sepasang suami isteri dengan merampas lebih 13.5 kilogram (kg) dadah dipercayai ganja bernilai RM33,813 dalam dua serbuan di Sungai Dua dan Perai dekat sini, kelmarin.

Terdahulu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang melancarkan operasi terancang di kawasan Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah sebelum berjaya membongkarkan kegiatan pengedaran dadah dilakukan tiga suspek.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad, berkata serbuan pertama pada jam 10.30 pagi di sebuah rumah di Sungai Dua yang disewa pasangan suami isteri berusia 35 dan 44 tahun menemui lapan bungkusan dadah jenis ganja seberat 8.7kg bernilai RM21,680.

"Ketika serbuan pasangan suami isteri itu sedang berehat di rumah berkenaan dan polis menahan kedua-dua mereka untuk tindakan lanjut.

"Hasil siasatan ke atas pasangan suami isteri itu kemudian membawa polis ke sebuah bengkel di Perai pada jam 1.30 tengahari (hari sama) sebelum menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 44 tahun yang dia adalah dalang kepada aktiviti pengedaran dadah di kawasan ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, di sini, hari ini.

Mohd Radzi berkata, dalam serbuan kedua polis merampas lima bungkusan dadah jenis ganja seberat 4.85kg bernilai RM12,133.

"Selain dadah, polis turut menyita barang kemas dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM15,000.

"Nilai rampasan dadah dan sitaan harta dalam kedua-dua serbuan ini adalah RM48,813," katanya.

Beliau berkata, kegiatan itu dipercayai bergiat aktif pada awal tahun ini dengan menfokuskan pasaran tempatan.

Katanya, semakan mendapati seorang daripada tiga suspek iaitu ketua sindiket mempunyai rekod jenayah lampau.

"Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas ketiga-tiga mereka pula didapati hanya suami kepada suspek wanita positif dadah.

"Suami isteri yang ditahan kini direman selama enam hari bermula semalam hingga 5 Julai ini manakala ketua sindiket direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 6 Julai," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mohd Radzi (dua dari kanan) menunjukkan bungkusan ganja yang dirampas dalam dua serbuan di Sungai Dua dan Perai, Butterworth pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, Kepala Batas. - Foto NSTP/ Nur Izzati Mohamad
Mohd Radzi (dua dari kanan) menunjukkan bungkusan ganja yang dirampas dalam dua serbuan di Sungai Dua dan Perai, Butterworth pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, Kepala Batas. - Foto NSTP/ Nur Izzati Mohamad
Berita Harian X