Jumaat, 1 Julai 2022 | 12:55pm
Anggota bomba dan polis memeriksa perigi di Pasir Panjang, Port Dickson di mana mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan tergantung, semalam. - Foto POLIS
Anggota bomba dan polis memeriksa perigi di Pasir Panjang, Port Dickson di mana mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan tergantung, semalam. - Foto POLIS

Mayat lelaki tergantung dalam perigi

PORT DICKSON: Seorang lelaki warga emas ditemui mati tergantung dalam sebuah perigi di Pasir Panjang, di sini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 11 pagi semalam mengenai penemuan mayat berkenaan.

Katanya, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson dan pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan digerakkan ke lokasi.

"Mayat lelaki itu dalam keadaan tergantung di dalam perigi. Pemeriksaan dan hasil siasatan awal di lokasi kejadian setakat ini tidak menemui sebarang tanda atau unsur jenayah jenayah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan berketurunan Melayu berusia 66 tahun dan tidak bekerja, selain mempunyai sejarah perubatan di Klinik Psikiatrik Hospital Port Dickson sejak 23 Oktober 2021 dan kali terakhir hadir rawatan susulan pada 7 Jun lalu.

"Bedah siasat dijalankan hari ini bagi menentukan sebab kematian. Sehingga kini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Berita Harian X