Rabu, 29 Jun 2022 | 9:38pm

Pelajar maut dirempuh pacuan empat roda

DUNGUN: Seorang pelajar perempuan maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 1, Jalan Tok Kah-Jerangau, dekat Alur Mak Bah, dekat sini, petang tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 6.30 petang itu, Nurul Zahirah Aqrima Mohamad Yasin, 13, maut di tempat kejadian akibat parah pada kepala dan anggota badan.

Kejadian itu dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal dari Kampung Alur Mak Bah dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Tok Kah.

Mangsa dikatakan keluar dari sebuah simpang tiga di situ dengan secara tiba-tiba sebelum dirempuh pacuan empat roda terbabit lalu menyeret mangsa kira-kira 20 meter.

Ibu mangsa, Maizan Yaacob, 47, berkata anaknya itu tidak pernah menunggang motosikal keluar dari kawasan kampungnya.

Katanya, Nurul Zahirah meminta izin darinya untuk menunggang motosikal ke kedai berhampiran, kira-kira jam 3 petang.

"Saya tunggu lama dia tak balik dan saya saya dah rasa pelik sebelum dihubungi penduduk kampung yang memaklumkan anak terbabit kemalangan.

Motosikal yang ditunggangi pelajar, Nurul Zahirah Aqrima Mohamad (gambar kecil) yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Tok Kah-Jerangau. - Foto Rosli Ilham
Motosikal yang ditunggangi pelajar, Nurul Zahirah Aqrima Mohamad (gambar kecil) yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Tok Kah-Jerangau. - Foto Rosli Ilham

"Saya ingat kemalangan kecil dan sebaik tiba di tempat kejadian, remuk hati saya apabila melihat jasadnya terbujur kaku," katanya.

Katanya, anaknya itu yang adalah pelajar Sekolah Menengah Pulau Serai rupanya pergi ke sekolah untuk menyertai latihan sukan.

"Dia sempat menghantar rakannya di Kampung Alur Mak Bah dan ketika dalam perjalanan pulang, dia terbabit kemalangan itu.

"Saya tak pernah benarkan dia menunggang motosikal keluar dari kawasan rumah, jika saya tahu dia nak ke sekolah, saya pasti akan hantarnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.

Maizan Yaacob ditenangkan jirannya sebaik melihat mayat anaknya. NSTP/FOTO ROSLI ILHAM
Maizan Yaacob ditenangkan jirannya sebaik melihat mayat anaknya. NSTP/FOTO ROSLI ILHAM
Berita Harian X