Rabu, 29 Jun 2022 | 8:47pm
Kereta yang dinaiki seorang lelaki dan perempuan remuk namun mereka terselamat selepas kereta itu dilanggar sebuah treler muatan dedak ayam di Kilometer 22.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara menghala ke Bukit Kayu Hitam. NSTP/IHSAN PDRM
Kereta yang dinaiki seorang lelaki dan perempuan remuk namun mereka terselamat selepas kereta itu dilanggar sebuah treler muatan dedak ayam di Kilometer 22.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara menghala ke Bukit Kayu Hitam. NSTP/IHSAN PDRM

Dua terselamat, kereta remuk dilanggar treler bawa dedak ayam

JITRA: Berpantang maut sebelum ajal. Demikian yang terjadi pada pemandu dan penumpang sebuah kereta Proton Saga FL yang dinaiki mereka selepas terbabit kemalangan dengan sebuah treler yang membawa muatan dedak ayam.

Kejadian berlaku di Kilometer 22.9, Lebuhraya Utara Selatan arah utara menghala Bukit Kayu Hitam pada jam 1.30 petang tadi.

Kereta itu remuk teruk namun kedua-dua mangsa berkenaan terselamat dan masih dirawat di hospital.

Dalam kejadian itu, pemandu kereta iaitu lelaki berusia 34 tahun itu luka pada tangan kanan dan kiri manakala penumpangnya wanita berusia 29 tahun pula luka pada muka kiri dan tangan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis (IPD) Kubang Pasu menerima panggilan berhubung kemalangan yang membabitkan treler dan kereta.

Beliau berkata, hasil siasatan awal di lokasi mendapati kemalangan berlaku ketika treler itu dipandu di lorong kiri dari Alor Setar menghala ke Napoh.

"Setiba di lokasi, tayar hadapan sebelah kanan treler itu pecah menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan terlanggar pada bahagian belakang kereta Proton Saga FL yang berada di hadapan treler itu.

"Akibat perlanggaranu, kereta terbabit berpusing dan terlanggar pada pembahagi tengah jalan manakala treler itu terbalik di tengah jalan," katanya.

Rodzi berkata, pemandu treler berusia 32 tahun dari Batu 3, Tandop, Alor Setar itu luka pada kaki kanan, tangan kiri dan kanan manakala kelindannya yang juga pemegang kad UNHCR luka pada tangan kanan dan kiri.

Katanya, kesemua mereka dihantar ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan dan tindakan lanjut.

Berita Harian X