Rabu, 29 Jun 2022 | 2:22pm

Warga emas didakwa rogol dua beradik

BUTTERWORTH: Lelaki warga emas dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 17 pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua beradik perempuan antara Januari 2014 hingga Mac tahun lalu.

Tertuduh, Ashaari Ibrahim,74, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Noraini Yusoff dan Noorhayati Mohd Yunus.

Mengikut enam pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Noraini, tertuduh didakwa merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia tujuh tahun, antara 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2020.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah di Perai dalam daerah Seberang Perai Tengah dekat sini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376(1) (e) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Sementara itu, bagi 11 lagi pertuduhan hadapan Hakim Norhayati, tertuduh didakwa merogol dan melakukan amang seksual terhadap seorang lagi kanak-kanak perempuan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kedua-dua perbuatan berkenaan ke atas kanak-kanak yang ketika itu berusia lima tahun yang ia adalah kakak kepada mangsa pertuduhan pertama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi yang sama antara 1 Januari 2014 hingga Mac 2021.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1)(e) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Syeqal Che Murat dan Aisyah Al Humayrah Kamaruzaman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh, sebelum kedua-dua hakim menetapkan 29 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh melantik peguam.

Warga emas Ashaari Ibrahim diiringi anggota polis di hadapkan 17 pertuduhan rogol dan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan dalam kejadian sekitar tahun 2014 sehingga 2021. - Foto DANIAL SAAD
Warga emas Ashaari Ibrahim diiringi anggota polis di hadapkan 17 pertuduhan rogol dan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan dalam kejadian sekitar tahun 2014 sehingga 2021. - Foto DANIAL SAAD
Berita Harian X