Selasa, 28 Jun 2022 | 11:36am
Mayat kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Jeti Nelayan Bagan Ajam, Pantai Bersih ditemui tersangkut pada tali pukat nelayan pagi tadi. - Foto ihsan APM Pulau Pinang
Mayat kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Jeti Nelayan Bagan Ajam, Pantai Bersih ditemui tersangkut pada tali pukat nelayan pagi tadi. - Foto ihsan APM Pulau Pinang

Mayat budak lemas tersangkut pada pukat

BUTTERWORTH: Penantian lebih 15 jam mencari mangsa yang dikhuatiri lemas, Muhammad Mikhaeil Mukmin Abdullah, 11, ketika mandi di Jeti Nelayan Bagan Ajam, Pantai Bersih di sini, berakhir apabila mayatnya ditemui tersangkut pada pukat nelayan.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang, berkata mayat kanak-kanak lelaki itu ditemui jam 9.15 pagi tadi.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada jam 9.40 pagi," katanya.

Dalam kejadian petang semalam, Muhammad Mikhaeil Mukmin dikatakan pergi ke pantai berkenaan untuk mandi bersama tiga lagi rakannya sebelum dilaporkan hilang dipercayai dibawa arus pada jam 5.30 petang.

Seorang pemancing yang menyedari kejadian itu cuba menyelamatkan mangsa, namun hampir lemas sebelum diselamatkan oleh orang awam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad mengesahkan penemuan mayat kanak-kanak lelaki itu.

"Mayat dibawa Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat," katanya.

Berita Harian X