Isnin, 27 Jun 2022 | 8:53pm
Anggota bomba dan penyelamat menjalankan usaha pencarian seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas ketika mandi berhampiran Jeti Nelayan Bagan Ajam dekat Pantai Bersih, Butterworth, petang tadi. NSTP/Ihsan JBPM Pulau Pinang
Anggota bomba dan penyelamat menjalankan usaha pencarian seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas ketika mandi berhampiran Jeti Nelayan Bagan Ajam dekat Pantai Bersih, Butterworth, petang tadi. NSTP/Ihsan JBPM Pulau Pinang

Budak lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di laut

BUTTERWORTH: Seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi berhampiran Jeti Nelayan Bagan Ajam dekat Pantai Bersih, di sini, petang tadi.

Terdahulu, mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Mikhaeil Muqmin Abdullah, 11 dikatakan pergi ke pantai berhampiran jeti berkenaan pada jam 5.30 petang bersama tiga lagi rakannya untuk mandi sebelum dia dibawa arus.

Difahamkan, seorang pemancing yang menyedari kejadian itu cuba menyelamatkan mangsa, namun hampir lemas sebelum dia diselamatkan orang awam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth, Pegawai Kanan Bomba II, Mohd Faizwan Che Amat, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 5.45 petang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, mangsa dimaklumkan telah dibawa arus dan usaha mencari serta menyelamatnya terus digerakkan.

"Usaha mencari dan menyelamat mangsa dijalankan bomba dengan bantuan unit Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) di kawasan mangsa dikhuatiri lemas.

"Operasi turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran dan nelayan," katanya, di sini, hari ini.

Mohd Faizwan berkata, operasi kini ditamatkan berikutan faktor pencahayaan serta arus deras dan akan disambung semula pada jam 7 pagi esok.

Berita Harian X