Selasa, 21 Jun 2022 | 10:18am
Foto hiasan
Foto hiasan

Lagi mangsa Macau Scam, pesara rugi wang pencen RM20,000

TELUK INTAN: Lagi mangsa ditipu Macau Scam, kali ini membabitkan seorang pesara kerajaan yang terperdaya sehingga kehilangan wang simpanan berjumlah RM20,000.

Terdahulu, lelaki warga emas berusia 76 tahun itu dikatakan dihubungi oleh seorang individu tidak dikenali mendakwa daripada Ibu Pejabat Pos Kuala Lumpur, ketika berada di rumahnya kira-kira jam 12.30 tengah hari 14 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata mangsa dimaklumkan ada bungkusan barangan penghantaran ke Sabah yang mengandungi satu kad pengenalannya dan lima kad mesin juruwang automatik (ATM) pelbagai bank, namun lelaki itu menafikannya.

Seterusnya, beliau berkata, talian mangsa disambungkan pula kononnya ke 'Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah' untuk membuat laporan polis, sebelum kepada 'pihak mahkamah' kerana pengadu didakwa terbabit jenayah pengubahan wang haram.

"Mangsa kemudian dihubungi sekali lagi oleh sindiket pada Khamis lalu, serta diminta membuat pindahan wang daripada akaunnya ke akaun bank diberikan suspek, kononnya bagi memastikan wang itu bersih daripada jenayah penggubahan wang haram," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Susulan itu, Ahmad Adnan berkata, mangsa yang terperdaya melakukan pindahan simpanan wang pencen sebanyak RM20,000 menerusi mesin ATM pada hari sama, kononnya bagi mengelakkan akaun bank beliau dibekukan oleh pihak Bank Negara.

"Selepas itu, mangsa terus menghubungi suspek tetapi tiada jawapan. Mangsa menyedari dirinya ditipu lalu hadir ke Balai Polis Teluk Intan untuk membuat laporan, semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya jangan mudah mempercayai panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali, dan tidak melayan panggilan itu bagi mengelak terperdaya dengan sindiket termasuk Macau Scam.

"Mana-mana agensi kerajaan yang berlainan, tidak akan menyambungkan sebarang panggilan telefon ke atas orang awam kepada agensi berbeza melalui satu panggilan yang sama. Contohnya, panggilan daripada polis tidak akan disambung terus kepada pihak mahkamah dalam panggilan sama," katanya.

Berita Harian X