Sabtu, 18 Jun 2022 | 7:28pm
Kakitangan Media Prima Berhad, Mohd Hafeez Jawati maut selepas motosikal yang ditunggang terbabit dalam kemalangan jalan raya di KM 294.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Utara awal pagi tadi. - Foto MPB
Kakitangan Media Prima Berhad, Mohd Hafeez Jawati maut selepas motosikal yang ditunggang terbabit dalam kemalangan jalan raya di KM 294.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Utara awal pagi tadi. - Foto MPB

Kakitangan Media Prima maut, motosikal berlanggar dengan lori

KAMPAR: Kakitangan Media Prima Berhad maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah lori dalam kemalangan jalan raya di KM 294.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Utara awal pagi tadi.

Mohd Hafeez Jawati, 43, dari Jabatan Big Tree Seni Jaya, Big Tree Outdoor yang menunggang jenis Yamaha X-Max disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan pada kira-kira jam 3.53 pagi.

"Siasatan awal mendapati, kedua-dua kenderaan terbabit dari arah Selatan menghala ke Utara.

"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa melanggar bahagian belakang kanan lori terbabit. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohamad Nazri berkata, punca kematian mangsa belum diketahui dan proses bedah siasat dijalankan di Hospital Kampar jam 2 petang tadi.

Katanya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Media Prima Bhd dalam satu kenyataan menzahirkan ucapan takziah atas pemergian arwah.

"Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat syarikat dan segala jasa bakti akan tetap dikenang," katanya.

Berita Harian X