Jumaat, 17 Jun 2022 | 8:01pm

Kumpul minyak masak paket 1kg sebelum jual, seludup

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 17.5 tan metrik minyak masak subsidi yang diseleweng dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Batu Sembilan, dekat sini, semalam.

Berdasarkan maklumat, semua stok terbabit dikumpulkan daripada pek minyak masak subsidi sekilogram yang diseleweng sebelum dihantar kepada pihak pengguna industri atau diseludup ke negara jiran.

Kegiatan yang dipercayai menyumbang kepada kekurangan bekalan minyak masak subsidi di sekitar daerah ini dibongkar selepas kediaman yang menjadi 'port' sindiket terbabit diserbu kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Ketua Pegawai KPDNHEP Sandakan, Azdy Zukkry John berkata, ketika serbuan beberapa individu dikatakan sedang memotong plastik minyak masak bersubsidi dalam pek satu kilogram, namun bertempiran larui sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Bagaimanapun, katanya seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan dan dia dipercayai dalang utama kegiatan terbabit.

"Pemeriksaan lanjut di lokasi itu menemukan 17.5 tan metrik minyak masak bersama pelbagai peralatan menyeleweng bahan subsidi itu.

"Hasil siasatan mendapati suspek mendapatkan bekalan minyak masak dalam pek bersubsidi yang kemudian diisi dalam tangki minyak di belakang sebuah lori yang sudah diubah suai.

"Minyak masak kemudian dihantar kepada pihak pengguna industri ataupun diseludup ke negara jiran susulan harga yang tinggi," katanya.

Suspek kini ditahan untuk diambil keterangan dan barangan bernilai RM98,750 dirampas untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pegawai KPDNHEP memeriksa lori yang diubah suai dengan tangki pada bahagian belakang untuk mengisi minyak masak subsidi yang diseleweng. - NSTP/ HAZSYAH ABDUL RAHMAN
Pegawai KPDNHEP memeriksa lori yang diubah suai dengan tangki pada bahagian belakang untuk mengisi minyak masak subsidi yang diseleweng. - NSTP/ HAZSYAH ABDUL RAHMAN
Berita Harian X