Selasa, 14 Jun 2022 | 11:32am

Op Noda: 11 termasuk sembilan warga asing ditahan

KUANTAN: Seramai 11 individu termasuk sembilan warga asing ditahan dalam Op Noda di dua premis hiburan di bandar raya ini, kelmarin.

Mereka yang ditahan ialah dua lelaki tempatan yang juga penjaga premis hiburan manakala sembilan wanita dari negara jiran.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, berkata mereka yang ditahan berumur antara 21 dan 39 tahun.

Katanya, siasatan awal mendapati sembilan warga asing itu bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO).

"Dalam kes ini, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 558 Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pendatang tanpa izin, Seksyen 308 Peraturan Imigresen 1959/83 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial.

"Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 1(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah, Seksyen 30 Enakmen Hiburan Pahang 1993 kerana menjalankan perniagaan melebihi masa yang ditetapkan.

"Penahanan 11 individu terbabit dilakukan melalui Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang," katanya.

Ramli berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Pahang bagi Jun 2022, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Mengulas Op Noda itu, Ramli berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pemilik premis pusat hiburan yang dikesan melakukan kesalahan termasuk menjalankan perniagaan melebihi tempoh masa ditetapkan.

Katanya, pada masa sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain turut memberi tumpuan kepada kegiatan penyalahgunaan gagal.

"Jangan ingat pusat hiburan sebagai tempat melakukan kesalahan jenayah kerana kita sentiasa memantau dan melakukan operasi dari semasa ke semasa," katanya.

Ramli turut menasihati masyarakat lebih peka dan tidak terpedaya dengan kes jenayah komersial membabitkan penipuan berkaitan Macau Scam yang menyebabkan ramai mangsa mengalami kerugian.

Oleh itu, katanya, masyarakat sebaiknya merujuk atau mendapatkan lebih tepat daripada polis untuk mengelak daripada menjadi mangsa.

"Antara faktor yang menyebabkan mangsa terpedaya apabila mudah berasa takut apabila diugut," katanya.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf menyampaikan penghargaan kepada penerima pada Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Pahang bagi Jun 2022 di Kuantan. - Foto NSTP/Asrol Awang
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf menyampaikan penghargaan kepada penerima pada Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Pahang bagi Jun 2022 di Kuantan. - Foto NSTP/Asrol Awang
Berita Harian X