Selasa, 14 Jun 2022 | 10:43am
 Foto hiasan
Foto hiasan

Pesara wanita rugi hampir suku juta terpedaya 'Love Scam'

ALOR SETAR: Seorang pesara kerugian RM220,500 selepas dipercayai terpedaya dengan sindiket 'Love Scam' pada November tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar, berkata ia bermula apabila wanita berumur 60 tahun dari Pendang itu berkenalan dengan suspek menerusi Facebook yang memperkenalkan dirinya sebagai 'Amran Mohammad Ali'.

Beliau berkata, mangsa yang berasal dari Pendang dipercayai kesunyian selepas kematian suaminya sejak 2008 dan mula berhubung dengan suspek menggunakan aplikasi itu sebelum menyambung perhubungan mereka melalui aplikasi WhatsApp.

"Suspek memperkenalkan dirinya sebagai Amran Mohammad Ali yang bekerja sebagai doktor yang menetap di Syria.

"Suspek meminta bantuan daripada mangsa untuk membuat beberapa transaksi wang ke akaun suspek bagi membantunya kerana sering kesusahan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Elias berkata, atas dasar percaya yang melampau, mangsa bersimpati dengan nasib lelaki itu menyebabkan dia memasukkan wang secara berperingkat melalui mesin juruwang automatik (ATM) ke dalam tujuh akaun bank berbeza diberikan suspek.

Beliau berkata, 51 transaksi wang bermula sejak Disember tahun lalu hingga bulan ini dengan keseluruhan berjumlah RM220,500.

"Kesemua wang itu adalah simpanannya sendiri dan penipuan ini mula disedari selepas mangsa diminta untuk memasukkan lagi wang pada Ahad lalu menyebabkan mangsa mula curiga.

"Berikutan itu, mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang semalam selepas menyedari dirinya ditipu lelaki itu," katanya.

Elias berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan dan membuat semakan nombor telefon atau nombor akaun bank menerusi laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu," katanya.

Berita Harian X