Jumaat, 10 Jun 2022 | 3:08pm

Wadar penjara, penganggur tak mengaku salah edar dadah

KANGAR: Seorang wadar Jabatan Penjara dan seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar, di sini, hari ini, atas tiga tuduhan mengedar dadah jenis heroin, ganja serta syabu di Beseri, Padang Besar, pada 4 Jun lalu.

Tertuduh, Mohd Hasif Abdul Rahim, 27, kakitangan Penjara Tapah, Perak dan rakannya, Mohd Farhan Abdul Aziz, 37, mengaku tidak bersalah dan hanya menganggukkan kepala tanda faham pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Norhasliza Md Ali.

Berdasarkan pertuduhan pertama mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, tertuduh didapati mengedar dadah heroin seberat 132 gram di sebuah rumah di Taman Melati Indah, Beseri, Padang Besar pada jam 1.45 tengah hari 4 Jun lalu. Sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta boleh dikenakan tidak kurang daripada 15 kali sebatan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didapati memiliki ganja seberat 85.9 gram dan syabu seberat 27 gram di lokasi, tarikh dan waktu sama seperti pertuduhan pertama. Sabit kesalahan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, tertuduh boleh dipenjara selama lima tahun hingga seumur hidup dan 10 kali sebatan.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilaksanakan Pegawai Pendakwa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, Inspektor S Mageswaran, manakala tertuduh diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid.

Dalam hujahannya, Mageswaran memohon mahkamah supaya tiada jaminan diberikan kepada tertuduh memandangkan akta membabitkan kesalahan pengedaran dadah tidak membolehkan seseorang tertuduh diikat jamin.

Sementara itu, Burhanudeen pula memohon mahkamah menetapkan suatu tarikh baharu untuk sebutan semula kes anak guamnya.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia diperoleh.

Sebelum ini media melaporkan, seorang penjawat awam antara dua lelaki ditahan selepas polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3,032.50 dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Beseri, Padang Besar.

Penahanan kedua-dua lelaki itu hasil risikan polis menerusi Op Hemlock yang mendapat maklumat berkenaan kegiatan pengedaran dadah dijalankan di kediaman berkenaan.

Mohd Hasif (tengah) dan Mohd Farhan (dua dari kanan) dibawa keluar oleh polis dari Mahkamah Kangar, hari ini. NSTP/ AIZAT SHARIF
Mohd Hasif (tengah) dan Mohd Farhan (dua dari kanan) dibawa keluar oleh polis dari Mahkamah Kangar, hari ini. NSTP/ AIZAT SHARIF
Berita Harian X