Khamis, 9 Jun 2022 | 6:12pm

Taktik pemandu lori tangki kerap isi diesel terbongkar

KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu berjaya membongkar taktik seorang pemandu lori tangki kerap mengisi diesel di stesen minyak, yang disyaki meraih keuntungan berganda dengan menjual semula bahan api bersubsidi itu.

Lelaki itu ditahan pada 18 Mei lalu oleh sepasukan anggota KPDNHEP yang turut merampas 16,380 liter diesel dan sebuah lori tangki dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM83,217.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia, berkata hasil siasatan mendapati tangki lori itu diubah suai sehingga mampu memuatkan kira-kira 20,000 liter diesel bersubsidi.

Beliau berkata, modus operandi kegiatan itu ialah mengisi diesel di beberapa stesen minyak sehingga memenuhi tangki lori yang telah diubah suai.

"Hasil siasatan juga mendapati ada sambungan paip yang diubah suai dipercayai untuk menyalurkan diesel yang diisi itu dari tangki asal ke dalam ruang simpanan lori.

"Pemandu terbabit ditahan selepas hasil siasatan mendapati berlaku kegiatan pemindahan yang mencurigakan dari pam stesen minyak ke dalam ruang simpanan lori tangki tanpa kebenaran," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saharuddin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan, dan pihaknya turut memberi amaran keras tidak akan berkompromi dengan pengusaha stesen minyak yang bakal dikenakan tindakan jika didapati bersalah.

Katanya, pengusaha stesen minyak yang sabit kesalahan melanggar Arahan Pengawal Bekalan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) boleh dikenakan denda RM1 juta, dan RM3 juta jika melakukan kesalahan berulang.

Beliau berkata, syarikat yang disabitkan kesalahan pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta, dan RM5 juta jika didapati melakukan kesalahan berikutnya.

"Kita juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak sehingga siasatan selesai dilakukan," katanya.

Saharuddin (kanan) menunjukkan gambar lori tangki yang ditahan, pada sidang media, hari ini. - NSTP/GHAZALI KORI
Saharuddin (kanan) menunjukkan gambar lori tangki yang ditahan, pada sidang media, hari ini. - NSTP/GHAZALI KORI
Berita Harian X