Khamis, 9 Jun 2022 | 4:42pm

Nelayan Vietnam curi lebih RM70 bilion hasil laut

MARANG: Pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam di perairan negeri ini mengakibatkan negara kehilangan hasil laut dianggarkan lebih RM70 bilion dalam tempoh 12 tahun sejak 2010.

Kerakusan nelayan terbabit mencuri hasil laut menggunakan kaedah tunda ganding dikatakan bukan sahaja memusnahkan ekosistem marin, malah turut menjejaskan sumber rezeki nelayan tempatan berikutan habitat marin dikatakan semakin berkurangan

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, berkata pihaknya mengenakan tindakan tegas termasuk menenggelamkan bot rampasan untuk dijadikan tukun tiruan dalam menangani isu pencerobohan nelayan terbabit.

Beliau berkata bermula 2010 hingga kini, pihaknya sudah melupuskan sebanyak 142 bot nelayan Vietnam dengan nilai anggaran sebanyak RM213 juta.

Menurutnya, proses pelupusan semua bot rampasan yang sudah dilucuthak oleh mahkamah itu dilakukan dengan menenggelamkan bot terbabit untuk dijadikan tukun tiruan.

"Kita mengambil serius dalam menangani isu pencerobohan nelayan Vietnam ini dan sentiasa komited dalam menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan hasil laut negara tidak terus dicuri nelayan asing.

"Tindakan melupuskan bot adalah bukti Maritim komited dalam menguatkuasakan undang-undang perairan negara terutama isu membabitkan pencerobohan nelayan Vietnam.

"Akibat pencerobohan ini, kita menganggarkan sebanyak RM6 bilion hasil laut di perairan negeri ini dicuri nelayan Vietnam setiap tahun," katanya selepas menyaksikan proses pelupusan tiga bot nelayan Vietnam untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Kapas, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim dan Pengarah Perikanan negeri, Ruzaidi Mamat.

Muhammad Suffi berkata, tiga bot terbabit yang dirampas oleh KM Gemia dan KM Nusa menerusi Ops Naga Barat serta Ops Kuda Laut pada tahun lalu ditenggelamkan di lokasi 1.3 batu nautika dari Pulau Kapas atau 4.7 batu nautika dari muara Marang.

Menurutnya, semua awak-awak bot-bot terbabit membabitkan seramai 43 orang sudah dihukum penjara selama tujuh bulan.

"Lokasi pelupusan bot yang tidak jauh dari tanah besar itu secara tidak langsung dapat membantu menambah pendapatan nelayan pantai sekali gus memulihkan ekonomi mereka yang sepenuhnya mengharapkan rezeki hasil laut," katanya.

Katanya, pelupusan bot itu turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan, Taman Laut serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (Ismat).

Satu daripada tiga bot nelayan Vietnam yang dirampas Maritim Malaysia dan sudah dilucuthak oleh mahkamah ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Kapas. - Foto NSTP/Zaid Salim
Satu daripada tiga bot nelayan Vietnam yang dirampas Maritim Malaysia dan sudah dilucuthak oleh mahkamah ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Kapas. - Foto NSTP/Zaid Salim
Berita Harian X