X
Rabu, 8 Jun 2022 | 9:14pm

Sindiket seleweng diesel bersubsidi tumpas

KLANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas kira-kira 55,400 liter dengan nilai rampasan RM605,000 selepas menyerbu sebuah premis di Jalan Johan Setia, di sini, hari ini.

Berikutan itu, KPDNHEP menahan tiga lelaki tempatan berumur antara 21 hingga 45 tahun bagi membantu siasatan.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Mohd Khairi Jamaludin, berkata terdahulu, pihaknya mendapati ada pergerakan kenderaan yang mencurigakan membabitkan lori ketika melakukan risikan beberapa minggu di premis berkenaan.

Katanya, lori berkenaan dipercayai memunggah minyak diesel bersubsidi dari stesen minyak sebelum barang kawalan bersubsidi itu disimpan secara haram di premis.

"Hasil serbuan hari ini, lapan unit Skid Tank, empat lori dan empat unit badan tangki lori turut ditemui dan disita.

"Dua daripada lapan tangki berisi minyak diesel," katanya pada sidang media selepas Operasi Penyelewengan Diesel Bersubsidi di Premis Haram, di sini, petang tadi.

Mohd Khairi yang juga Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP negeri berkata, siasatan mendapati modus operandi sindiket berkenaan adalah membeli minyak diesel di stesen minyak berhampiran untuk menjalankan aktiviti penyelewengan itu.

"Kita percaya minyak diperoleh daripada stesen minyak berdekatan menggunakan beberapa lori sebagai medium untuk memunggah minyak diesel bersubsidi.

"Minyak diesel yang dibeli itu kemudian dimasukkan dalam tangki lori secara penuh sebelum disedut keluar ke tangki dalam premis untuk dikumpul dan dijual dalam pasaran gelap.

"Siasatan di premis ini juga mendapati, kawasan dalam premis ini dilengkapi dengan pagar yang menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan aktiviti mereka," katanya.

Beliau berkata, premis yang dipercayai sudah setahun beroperasi tidak mempunyai lesen sah atau dokumen kebenaran dari Pengawal Bekalan untuk menjalankan urusan barang kawalan bersubsidi jenis minyak diesel.

"Siasatan lanjut juga dijalankan bagi mengenal pasti pemilik premis ini, serta transaksi pembelian dan jualan minyak diesel yang dijalankan," katanya.

Ketua Pegawai Penguatkuasa merangkap Timbalan Pengarah KPDNHEP Selangor, Mohd Khairi Jamaludin ketika operasi penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah premis di Johan Setia, Klang. NSTP/FAIZ ANUAR
Ketua Pegawai Penguatkuasa merangkap Timbalan Pengarah KPDNHEP Selangor, Mohd Khairi Jamaludin ketika operasi penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah premis di Johan Setia, Klang. NSTP/FAIZ ANUAR
Berita Harian X