Isnin, 6 Jun 2022 | 5:58pm

Mekanik rugi RM70,000 diperdaya Macau Scam

SEREMBAN: Seorang mekanik di Jempol mendakwa kerugian RM70,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai wakil daripada Klinik Kesihatan dan pegawai polis, 25 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, berkata lelaki berusia 56 tahun itu dikatakan menerima panggilan telefon memaklumkan melakukan kesalahan kerana mengambil ubat sebanyak lapan kali di Klinik Kesihatan Ampang Baru, Ipoh, Perak.

Beliau berkata, panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang individu kononnya pegawai polis bernama Sarjan Lee dari Balai Polis Ipoh yang mendakwa mangsa terbabit kes pengubahan wang haram pula.

"Mangsa kemudian diminta memindahkan wang dalam akaun beliau kononnya untuk siasatan polis, dan akan ditangkap jika tidak berbuat demikian. Mangsa dimaklumkan kononnya wang milik beliau akan dipulangkan semula jika tidak terbabit pengubahan wang haram.

"Susulan itu, mangsa membuat pindahan ke dalam dua akaun berlainan dengan jumlah keseluruhan RM70,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Namun, Chang Hook berkata, mangsa yang mengesyaki diri diperdaya kemudian membuat laporan polis, Jumaat lalu, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, seorang pekerja kilang berusia 36 tahun di Bahau mendakwa kerugian RM11,300 selepas terperdaya dengan perkhidmatan pelacuran secara dalam talian yang ditawarkan melalui aplikasi WhatsApp pada Sabtu lalu.

"Pada hari sama, mangsa diminta memasukkan wang dan membuat 22 kali tambah nilai ke satu aplikasi membabitkan jumlah RM11,300," katanya.

Chang Hook berkata, mangsa kemudian turut diminta menghantar gambar kad pengenalan sebagai bukti pembayaran itu.

Beliau berkata, mangsa yang mengesyaki diri ditipu selepas dimaklumkan rakannya, tampil membuat laporan polis, semalam. – BERNAMA

Berita Harian X