Jumaat, 3 Jun 2022 | 1:04pm
Dua beradik maut manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan yang dinaiki dirempuh treler dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 310.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, di sini awal pagi tadi. - Foto IPD KAMPAR
Dua beradik maut manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan yang dinaiki dirempuh treler dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 310.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, di sini awal pagi tadi. - Foto IPD KAMPAR

Dua beradik maut, kenderaan dirempuh treler

KAMPAR: Dua beradik maut manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan yang dinaiki dirempuh treler dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 310.4 Lebuh raya Utara Selatan arah selatan, di sini awal pagi tadi.

Mangsa, Nurqalesya Adriana Jaafar, 12, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala adiknya, Muhammad Saiful Amry Jaafar, sembilan, pula meninggal dunia di Hospital Tapah.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kemalangan membabitkan kenderaan Proton Iswara dan treler pada jam 2.30 pagi.

Beliau berkata, kenderaan Proton Iswara itu dinaiki oleh enam orang iaitu bapa mangsa dan empat orang anaknya termasuk seorang wanita yang dikatakan tunang kepada bapa mangsa.

"Bapa mangsa, Jaafar Ahmad, 49, cedera di kaki kanan, manakala dua lagi anaknya yang berusia 14 dan 6 tahun cedera ringan manakala wanita berusia 24 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Mohamad Nazri berkata, bapa mangsa yang memandu kereta itu dikatakan mengalami 'microsleep' dan melanggar lori yang memandu secara perlahan di hadapannya.

"Enjin kereta mangsa tiba-tiba mati ditengah-tengah jalan sebelum kenderaan mangsa dirempuh oleh treler di belakang.

"Pemandu treler berusia 47 tahun itu tidak mengalami kecederaan manakala lori yang dilanggar tidak berhenti dan pihak polis masih mengesan," katanya.

Katanya, punca sebenar kematian masih belum diketahui dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X