Jumaat, 3 Jun 2022 | 10:06am
Keadaan kereta dinaiki keluarga mangsa yang maut dalam malangan di Kilometer 310.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Kampar, pagi tadi. - BERNAMA
Keadaan kereta dinaiki keluarga mangsa yang maut dalam malangan di Kilometer 310.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Kampar, pagi tadi. - BERNAMA

2 beradik maut dalam perjalanan ke rumah ibu

IPOH: Dua beradik maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 310.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, dekat Kampar, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud, berkata mangsa, Nurqalesya Adriana Jaafar, 12, maut di lokasi kejadian, manakala adiknya Muhammad Saiful Amry, 9, meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Tapah.

Katanya, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Iswara dan sebuah treler kira-kira 2.30 pagi.

"Kereta itu dinaiki enam orang, iaitu empat beradik, bapa mereka dan seorang wanita dipercayai tunang kepada bapa mangsa. Mereka dikatakan dalam perjalanan dari Baling, Kedah ke Seremban, Negeri Sembilan untuk menghantar kesemua adik beradik itu ke rumah ibu mereka.

"Bapa mangsa, Jaafar Ahmad, 49, mengalami kecederaan di kaki kanan, manakala dua lagi anaknya, masing-masing berusia 14 dan enam tahun hanya cedera ringan. Wanita berusia 24 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Nazri berkata, pemandu treler berumur 47 tahun pula tidak mengalami kecederaan.

Katanya, punca kemalangan masih lagi dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Berita Harian X