Khamis, 2 Jun 2022 | 12:55pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Wanita rugi RM688,500 ditipu pelaburan mata wang digital

JOHOR BAHRU: Seorang pengurus syarikat insurans kerugian lebih RM688,000 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan mata wang digital menerusi aplikasi sembang dan media sosial, bulan lalu.

Wanita berusia 38 tahun itu dijanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat bagi pelaburan mata wang digital berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Asisten Komisioner Amran Md Jusin berkata, mangsa tampil membuat laporan polis kelmarin, selepas menyedari dirinya tertipu.

"Perkara itu terjadi selepas dia mendakwa ada berkomunikasi dengan seorang individu menerusi aplikasi WhatsApp dan Instagram sebelum mangsa kemudian mengikut semua arahan individu terbabit," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, individu terbabit meminta mangsa memasukkan wang dalam 10 akaun berbeza menerusi 19 transaksi keseluruhannya berjumlah RM688,500.30 antara 20 hingga 31 Mei lalu.

"Mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas tidak dapat menghubungi individu berkenaan, selain tidak menerima keuntungan lumayan seperti dijanjikan," katanya.

Amran berkata, polis kini sedang menjalankan siasatan berhubung kes itu dengan memeriksa semua butiran akaun bank digunakan dalam penipuan terbabit.

Beliau berkata, hasil siasatan awal, enam daripada 10 akaun bank itu pernah mempunyai rekod digunakan bagi lain-lain kes jenayah komersial di Johor dan seluruh negara.

"Orang ramai perlu lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya terutama dengan tawaran menjanjikan pulangan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat.

"Mereka juga dinasihat menggunakan perkhidmatan dalam talian seperti CCID Scam Response Centre dan CCID Infoline jika mempunyai pertanyaan berhubung butiran jenayah komersial," katanya.

Berita Harian X