Isnin, 30 Mei 2022 | 3:29pm

Pil yaba paling popular di Kelantan

KOTA BHARU: Pil yaba menjadi dadah paling popular di Kelantan berikutan mendapat permintaan tinggi.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata ia susulan dadah terbabit sedang digunakan selain mudah dibawa.

"Di Kelantan, pil yaba adalah paling popular berbanding dadah jenis heroin. Selain daripada segi mudah dibawa, harga yang murah juga menyumbang kepada faktor permintaan tinggi.

"Sebiji pil yaba berharga RM10 sahaja. Namun jika permintaan tinggi dan bekalan sukar diperoleh susulan kawalan ketat, harga akan meningkat sehingga mencecah RM20 sebiji.

"Justeru, kita akan meningkatkan operasi bagi membuat tangkapan terhadap pengesar dadah terbabit dalam usaha membanteras jenayah dadah di negeri ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada sidang media berkenaan, Muhamad Zaki turut memaklumkan, pihaknya menahan empat lelaki yang juga pengedar dadah menerusi tiga serbuan berasingan di Kota Bharu dan Tumpat semalam.

Katanya, hasil serbuan jam 1 pagi hingga 12 tengahari itu membawa kepada rampasan 1,098 biji pil kuda, 3 gram heroin dan empat pil epam yang keseluruhannya bernilai RM11,550.

"Pemeriksaan mendapati, tiga daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan semua mereka berusia antara 26 hingga 48 tahun itu ditahan reman sehingga Khamis ini.

"Sekiranya dadah ini terlepas, ia boleh digunakan seramai 580 orang penagih dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan rampasan pil kuda di tiga lokasi di daerah Tumpat dan Kota Bharu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan rampasan pil kuda di tiga lokasi di daerah Tumpat dan Kota Bharu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X