Isnin, 30 Mei 2022 | 12:52pm

KPDNHEP Melaka tumpaskan sindiket penyeludupan diesel

MELAKA: Isi diesel antara RM300 hingga RM500 di setiap stesen minyak di sekitar Melaka menggunakan kad kredit dan upah tonto. Itu modus operandi sindiket penyeludupan diesel aktif sejak seminggu lalu bagi mengaburi pihak berkuasa.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata, taktik licik sindiket itu bagaimanapun terbongkar hasil maklumat awam, pemeriksaan berkala dan risikan pihaknya selepas

menyerbu premis dijadikan stor haram penyimpanan diesel disyaki untuk diseleweng di kawasan Perindustrian Krubong, kira-kira 7 malam tadi.

"Hasil serbuan kita menemui kira-kira 10,000 liter diesel di dalam tangki tambahan lori yang digunakan serta tangki minyak (skid tank).

"Selain itu, 18 tangki tambahan, dua motosikal serta paip penyambung, keseluruhannya dianggarkan bernilai RM135,000 turut disita dan dibawa ke stor KPDNHEP," katanya ditemui di lokasi serbuan hari ini.

Ketika serbuan dilakukan, Norena berkata, dua lelaki sedang menyedut diesel ke tangki besar daripada sebuah lori dan bertempiaran lari serta meninggalkan aset mereka melarikan diri dengan memanjat tembok dan meloloskan diri di sekitar semak samun berhampiran stor itu.

"KPDNHEP Melaka serius membanteras kegiatan penyeludupan dan diesel ini disyaki untuk diseleweng bagi pasaran industri di seluruh negara. Diesel industri ini berharga RM4.20 hingga RM4.30 seliter dan jika dijual di pasaran gelap lebih kurang RM4 satu liter, jadi masih dapat untung banyak dan industri pula mahu menjimatkan kos," katanya.

Mengulas lanjut katanya, taktik sindiket adalah membuat isian penuh diesel di stesen minyak di tiga daerah di Jasin, Alor Gajah dan Melaka Tengah sebelum kembali ke stor penyimpanan.

"Tangki lori digunakan juga diubah suai dan dipasang suis khas. Jika dilihat dari luar nampak mereka seperti mengisi tangki biasa dan pekerja stesen minyak tidak akan perasan. Tetapi bila suis dihidupkan ia akan menyedut diesel ke tangki dalam lori. Setiap satu lori ada enam tangki diubah suai dan boleh memuatkan 1,000 liter diesel.

"Sindiket juga membayar guna kad kredit atau debit, jadi tidak perlu berjumpa pekerja di kaunter," katanya sambil memaklumkan operasi berterus bagi mencegah kegiatan itu akan dibuat berkala.

Beliau berkata, sindiket juga menggunakan tonto bagi mengekori pihaknya ketika operasi berkenaan dan membuat helah dengan melalui jalan berlainan untuk ke stor haram itu.

"Malah, ketika serbuan beberapa kenderaan disyaki tonto turut berada di luar stor dan merakam gambar penguat kuasa," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun jika kesalahan bagi orang perseorangan manakala bagi kesalahan dilakukan pertubuhan, denda maksimum RM3 juta bagi kesalahan pertama atau maksimum RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar (baju putih) bersama pegawainya memeriksa lori digunakan sindiket dilengkapi tangki tambahan di sebuah premis di kawasan Perindustrian Krubong, hari ini. - Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar (baju putih) bersama pegawainya memeriksa lori digunakan sindiket dilengkapi tangki tambahan di sebuah premis di kawasan Perindustrian Krubong, hari ini. - Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Berita Harian X