Ahad, 29 Mei 2022 | 8:59pm

Love Scam: Nenek rugi lebih RM500,000 diperdaya lelaki konon doktor dari Iraq

TAIPING: Seorang nenek berusia 68 tahun kerugian RM565,700 selepas mendakwa ditipu seorang lelaki kononnya doktor dari Iraq yang dikenalinya sejak tujuh bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, berkata mangsa yang bekerja sebagai penjaga stor sebuah kilang menjalinkan hubungan cinta secara dalam talian dengan doktor itu yang dikenali sebagai Ding Nai Wei.

Beliau berkata, mangsa yang menyedari ditipu lelaki berkenaan membuat laporan polis semalam.

"Siasatan awal mendapati mangsa menjalinkan hubungan dengan lelaki itu melalui laman sosial Facebook, pada 16 Sepetember tahun lalu.

"Sepanjang tempoh perkenalan, mangsa memasukkan jumlah wang berkenaan melalui 69 transaksi ke atas 13 akaun bank berbeza. Kesemua transaksi dilakukan melalui mesin ATM Maybank Cawangan Taiping, bermula 4 Oktober tahun lalu hingga 21 Mei.

"Modus Oeprandi (MO) lelaki itu adalah meminta mangsa memasukkan jumlah wang yang diperlukan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membantunya keluar dari Iraq dan ingin pulang ke Miami.

"Suspek turut berjanji untuk memberikan RM5 juta kepada mangsa sekiranya sampai di Malaysia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Osman berkata, siasatan juga mendapati mangsa hanya berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatApps dan kedua-dua mereka tidak pernah bertemu.

Katanya, suspek meminta bantuan daripada pengadu untuk memasukkan wang kepada pihak PBB bagi menamatkan kontraknya sebagai doktor di sana.

"Mangsa yang terpengaruh akhirnya kerugian RM565,700," katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X