Jumaat, 27 Mei 2022 | 9:38pm
Keadaan Perodua Myvi dinaiki pasangan suami isteri yang terbabit kemalangan dengan treler di Kilometer 36.2 Lebuhraya Karak arah Timur, dekat Gombak, hari ini. - Foto ihsan polis
Keadaan Perodua Myvi dinaiki pasangan suami isteri yang terbabit kemalangan dengan treler di Kilometer 36.2 Lebuhraya Karak arah Timur, dekat Gombak, hari ini. - Foto ihsan polis

Wanita maut, suami cedera kereta dinaiki rempuh treler

GOMBAK: Seorang wanita warga Indonesia maut, manakala suaminya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 36.2 Lebuhraya Karak arah Timur, dekat sini, hari ini.

Mangsa, Suliami Riski Amalia, 47, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, siasatan mendapati Perodua Myvi dinaiki suami isteri itu merempuh bahagian belakang treler ketika masing-masing bergerak dari arah Gombak menuju Bentong.

"Suliami yang cedera parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Selayang untuk bedah siasat.

"Sementara suaminya, 62, yang memandu kereta terbabit cedera pada kaki dan dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X