Khamis, 26 Mei 2022 | 2:49pm

Jurulatih wushu didakwa 10 pertuduhan amang seksual

PUTRAJAYA: Seorang jurulatih wushu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas 10 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun.

Pengakuan itu dibuat Tertuduh, Gjeblehim Bong Teck Fuu, 31, yang juga bekas atlet negara selepas semua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Wan Aima Naziha Wan Sulaiman.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai hubungan amanah iaitu jurulatih didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sekitar Februari lalu di sebuah rumah di Taman Kajang Mewah di Kajang, Selangor.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shazwani Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam Michelle Liu dan Vam Shir Mooi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, media melaporkan seorang jurulatih wushu berusia 31 tahun ditahan selepas dipercayai melakukan gangguan seksual terhadap seorang atlet di bawah kendaliannya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dilaporkan berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pada 9 hingga 11 Februari lalu di rumah jurulatih terbabit di Taman Kajang Mewah.

Kelmarin pula, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji mengesahkan dua laporan polis diterima masing-masing di Cheras dan Brickfields berkaitan kes cabul dilakukan jurulatih wushu itu membabitkan mangsa berusia 12 dan 13 tahun.

Jurulatih wushu, Gjeblehim Bong Teck Fuu, 31, didakwa atas 10 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja berusia 13 tahun di Mahkamah Sesyen Putrajaya. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Jurulatih wushu, Gjeblehim Bong Teck Fuu, 31, didakwa atas 10 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja berusia 13 tahun di Mahkamah Sesyen Putrajaya. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Berita Harian X