Jumaat, 20 Mei 2022 | 1:24pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Kepala mangsa serangan buaya ditemukan hanyut

LUNDU: Kepala mangsa serangan buaya ditemui hanyut di Sungai Ahong, Kampung Kangka, Lundu, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Lundu, Deputi Superintendan Damataries Lautin, berkata kepala lelaki malang itu, Sebarang Bingkok, 56, ditemui ahli keluarganya kira-kira jam 5 petang semalam.

Menurutnya, mangsa dilaporkan hilang sejak jam 3 petang semalam dan ahli keluarganya membuat laporan polis selepas mengesyaki yang buruk berlaku.

"Misteri kehilangan lelaki itu terjawab apabila ahli keluarganya menemui kepala mangsa hanyut dibawa arus petang semalam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Damataries berkata, kepala yang ditemui ahli keluarga mangsa itu sudah dihantar ke Hospital Lundu untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, operasi diteruskan hari ini bagi mengesan bahagian tubuh lelaki itu yang dipercayai mangsa serangan buaya.

Ia membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) , Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Berita Harian X