Rabu, 18 Mei 2022 | 7:08pm
Foto tular mengenai seorang lelaki dipercayai peserta cosplay menyelak baju hingga menampakkan objek menyerupai pistol terselit pada seluarnya.
Foto tular mengenai seorang lelaki dipercayai peserta cosplay menyelak baju hingga menampakkan objek menyerupai pistol terselit pada seluarnya.

Polis siasat peserta cosplay bawa 'pistol'

KUALA LUMPUR: Polis membuka satu kertas siasatan berhubung rakaman video yang tular mengenai seorang lelaki dipercayai peserta festival animasi atau 'cosplay' yang membawa senjata di sebuah pasar raya di Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Fakhrudin Abdul Hamid, berkata siasatan mengenainya dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, polis juga giat mengesan pemilik akaun laman sosial itu dan individu yang terbabit dalam rakaman video berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata semalam kira-kira jam 5.30 petang, polis mengesan satu rakaman video dalam laman sosial yang memaparkan seorang lelaki sedang berjalan sambil menyelak baju hingga menampakkan objek menyerupai senjata yang diselit pada seluarnya.

"Satu laporan polis dibuat mengenai penularan video itu dan kami percaya ia berlaku di sebuah pasar raya di Petaling Jaya, yang ketika itu menganjurkan satu festival animasi atau 'cosplay' selama empat hari bermula Jumaat hingga kelmarin," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Fakhrudin berkata, lelaki yang tular dalam rakaman video itu antara peserta yang turut menggayakan watak animasi semasa hadir ke festival berkenaan.

Semalam, warga maya gempar apabila seorang lelaki bertopi dan berkemeja hijau memegang senjata menyerupai pistol dan mengacukannya di kalangan orang ramai di pusat membeli belah.

Terdahulu, Fakhruddin dalam kes berasingan mengesahkan satu siasatan tatatertib akan dilakukan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Daerah Petaling Jaya susulan ketidakpuasan hati seorang wanita yang juga peserta cosplay yang mendakwa mendapat layanan buruk oleh anggota polis.

Siasatan mendapati pengadu wanita itu hadir ke Balai Polis Kelana Jaya kelmarin untuk membuat satu laporan polis, tetapi dia merasa tidak selesa dengan layanan dan tutur kata anggota polis bertugas ketika itu.

Berita Harian X