Selasa, 17 Mei 2022 | 6:07pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Lelaki raba kanak-kanak dalam lif direman 5 hari

KUALA LUMPUR: Suspek lelaki yang didakwa meraba seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dalam lif di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sini, direman lima hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek berusia 30-an itu ditahan polis kelmarin.

"Polis mendapat perintah menahan reman suspek selama lima hari bermula semalam sehingga Jumaat ini.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan amang seksual," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini ibu kepada mangsa berusia 36 tahun menyatakan kebimbangan selepas anak perempuannya didakwa diraba oleh suspek dalam lif di PPR kediaman mereka.

Difahamkan, wanita itu mengetahui kejadian selepas anaknya pulang ke rumah dalam keadaan menangis dan menceritakan apa yang berlaku.

Habibi dilaporkan berkata, polis sudah merakam keterangan mangsa serta suspek dan berdasarkan keterangan yang diambil menyatakan lelaki itu adalah pesakit mental.

Beliau berkata, suspek akan dihantar ke Hospital Bahagia selepas pihaknya menerima perintah mahkamah.

Berita Harian X