Selasa, 17 Mei 2022 | 3:31pm
Muhammad Zaki menunjukkan pil kuda bernilai RM480,000,00 yang dirampas di kawasan parkir sebuah pasar raya di Tanah Merah ketika sidang media hari ini. - NSTP/ NIK ABDULLAH NIK OMAR
Muhammad Zaki menunjukkan pil kuda bernilai RM480,000,00 yang dirampas di kawasan parkir sebuah pasar raya di Tanah Merah ketika sidang media hari ini. - NSTP/ NIK ABDULLAH NIK OMAR

Helah bawa anak kecil ketika edar 48,000 pil kuda

KOTA BHARU: Seorang lelaki warga Thailand sanggup menggunakan anak perempuannya berusia lima tahun sebagai samaran, untuk mengelak tindakannya membawa pil kuda bernilai hampir setengah juta dikesan pihak berkuasa.

Taktik suspek, 28, bagaimanapun terbongkar apabila kenderaan jenis Toyota Avanza dipandunya diserbu sepasukan polis di kawasan parkir sebuah pasar raya di Tanah Merah kira-kira jam 5.30 petang semalam, sekali gus membawa kepada penemuan 48,000 pil kuda.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata pemeriksaan menemukan satu beg yang mana didalamnya mengandungi lapan bungkusan kekuningan.

"Pemeriksaan lanjut terhadap bungkusan itu mendapati didalamnya mengandungi tiga bungkusan plastik cerah mengandungi 48,000 biji pil Yaba bernilai RM480,000.

"Susulan rampasan itu, polis melakukan pemeriksaan lanjut di rumah suspek di Kampung Perupok di Bachok, namun tidak membabitkan sebarang rampasan.

"Polis turut merampas wang tunai RM440 bersama kenderaan suspek untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, siasatan lanjut mendapati dadah terbabit diperoleh dari Thailand dan suspek turut mempunyai rangkaian di negara terbabit.

"Suspek tidak mempunyai rekod lampau dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Jumlah rampasan dadah terbabit boleh digunakan seramai 24,000 orang penagih," katanya.

Berita Harian X