KUALA LUMPUR: Seorang kontraktor sambilan ditahan polis bagi membantu siasatan kes dera membabitkan seorang kanak-kanak lelaki yang dijaganya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata kes terbabit dikesan selepas seorang warga tempatan mengesan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun mengalami kecederaan pada badannya.
Katanya, pengadu yang melihat kecederaan pada muka dan badan selepas mendengar tangisan kuat kanak-kanak malang itu, terus membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya oleh pihak berkuasa.
"Hasil siasatan polis mendapati, lelaki yang juga penjaga berusia lingkungan 40-an disyaki mendera mangsa.
"Suspek adalah penjaga sementara kepada mangsa kerana ibu bapa kandung mangsa kini menjalani hukuman penjara di atas kesalahan dadah. "Mangsa dijaga suspek sejak awal Januari 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ampang Jaya membuat tangkapan ke atas suspek yang bekerja sebagai kontraktor sambilan di Jalan Besar Taman Dagang, di sini.
"Suspek adalah kawan kepada bapa mangsa yang diminta menjaga mangsa sementara dan dia juga mempunyai tiga rekod lampau dadah dan satu rekod lampau jenayah komersil.
"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Ampang esok bagi tujuan permohonan reman untuk membantu siasatan," katanya.