Jumaat, 13 Mei 2022 | 12:01pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

RM300,000 lesap angkara gertakan waran tangkap

SEREMBAN: Seorang pegawai eksekutif sebuah syarikat kerugian lebih RM300,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa terbabit dengan sindiket penggubahan wang haram dengan seorang lelaki bernama Lim Lam Seng.

Wanita berusia 51 tahun itu terdahulu ditakutkan apabila sindiket mendakwa dia mempunyai waran tangkap dan diarahkan supaya membuka satu akaun bank baru serta menyerahkan maklumat perbankan atas talian akaun berkenaan.

Malah, mangsa juga sanggup membuat pinjaman bank sebanyak RM82,000 kononnya bagi menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani, berkata mangsa diminta memasukkan semua wang daripada akaun bank lain ke akaun baru itu sebelum wang berkenaan lesap.

"Ketika mangsa berada di pejabatnya di Taman Mahawangsa Enstek, Nilai, pada September 2021, wanita ini menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali dan mengaku pihak insurans dan menyatakan mangsa ada membuat pengeluaran wang insurans sebanyak empat kali.

"Mangsa seterusnya dihubungi seorang lelaki yang mengaku sebagai Inspektor Chong daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Pudu mengenai laporan berkenaan akaun insurans berkenaan selain memaklumkan mangsa terbabit dengan jenayah penggubahan wang haram," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aibee berkata, mangsa diminta untuk membuka satu akaun dan menyerahkan maklumat perbankan atas talian kepada Inspektor Chong dan mengeluarkan wang daripada akaunnya untuk dimasukkan ke dalam akaun bank itu.

"Mangsa memasukkan sebanyak RM123,000 daripada tiga akaun bank berlainan dan sebanyak RM82,000 daripada pinjaman daripada institusi pinjaman wang. Jumlah keseluruhan kerugian RM335,000," katanya.

Jelas beliau, mangsa yang menyedari ditipu membuat satu laporan polis di Balai Polis Labu, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X