Rabu, 11 Mei 2022 | 5:40pm

'Anak hyperaktif kena dera di taska'

JOHOR BAHRU: Seorang guru taska ditahan polis, kerana disyaki mendera secara menarik telinga dan menekup muka anak asuhan dengan bantal dalam kejadian di tempat kerjanya dekat Tampoi di sini, kelmarin.

Wanita berusia 24 tahun itu ditahan di tepi Jalan Putih, Skudai di sini kira-kira jam 9 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Superintendan Rupiah Abd Wahid, berkata pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa berusia empat tahun itu, yang mendakwa anaknya didera di taska terbabit pada jam 3.17 petang semalam.

Beliau berkata, kanak-kanak perempuan itu adalah seorang hyperaktif dan lambat pertuturan (speech delay).

"Rakaman video berhubung kejadian juga tular di media sosial. Mangsa ditempatkan ibu bapanya di taska itu juga yang menjadi pusat jagaan kanak-kanak normal dan khas.

"Hasil siasatan pihak polis melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska itu mendapati, suspek menarik telinga dan menekap bantal ke muka mangsa.

"Mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan pegawai perubatan di hospital itu mengesahkan mangsa mengalami lebam di bahagian telinga kanan dipercayai akibat penderaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Rupiah berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 32(1)(a) Akta Kanak-kanak 2011.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini supaya menghubungi dan menyalurkan maklumat berkaitan kepada Ibu Pejabat Daerah Johor Bahru Utara menerusi talian 07-556 3122.

Berita Harian X