Selasa, 10 Mei 2022 | 4:12pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Macau Scam: Arkitek rugi RM121,000

KUCHING: Seorang arkitek kerugian RM121,000 akibat diperdaya sindiket Macau Scam, selepas menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai dari Mahkamah Langkawi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata mangsa berusia 35 tahun yang bekerja dengan sebuah syarikat swasta di Kuching itu menerima panggilan daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai 'Mohd Rizuan' pada 1 Mac lalu.

Katanya, lelaki yang mendakwa dari Mahkamah Langkawi itu menyatakan mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram.

"Mangsa menafikan dakwaan itu dan kemudian talian telefon disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai 'Sarjan Farah' dari Balai Polis Langkawi.

"Suspek menawarkan untuk membantu mangsa membuat laporan penafian serta meminta bayaran untuk audit dan siasatan Jabatan Audit Negara bahawa wang milik pengadu bukan wang haram," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azman berkata, selepas itu mangsa menerima panggilan daripada beberapa nombor telefon yang mengarahkannya membuat bayaran ke beberapa akaun bank bagi bayaran audit dan siasatan.

"Mangsa membuat 11 transaksi pemindahan wang berjumlah keseluruhan RM121,000 ke empat akaun bank atas nama individu berlainan antara 1 Mac hingga 12 April lalu.

"Mangsa hanya menyedari ditipu selepas semua nombor telefon yang menghubunginya sebelum ini gagal dihubungi selepas itu dan laporan polis mengenainya dibuat semalam," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai harus mengawal diri dan tidak mudah panik serta cemas apabila menerima panggilan daripada individu yang tidak dikenali yang mendakwa dari mana-mana jabatan kerajaan, institusi kewangan, syarikat insurans atau syarikat penghantaran.

"Segera tamatkan panggilan itu dan buat semakan dengan pihak berwajib melalui nombor telefon yang sah atau datang ke jabatan kerajaan atau syarikat yang didakwa itu untuk pengesahan," katanya.

Orang ramai juga menghubungi CCID Scam Response Center melalui talian 03-26101559 dan 03-2610 1599 atau CCID Infoline di talian 013-211 1222 (Whatsapp/SMS) bagi mendapatkan nasihat atau menyalurkan maklumat berhubung kes jenayah dalam talian.

Berita Harian X