Jumaat, 29 April 2022 | 11:14am

Kes dera 2 beradik, ibu pula ditahan

ALOR SETAR: Ibu kepada dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan lapan tahun yang disyaki didera ditahan polis semalam.

Wanita berusia 31 tahun itu ditahan jam 5.30 petang di tepi Jalan Kolam Air, di sini, kira-kira 26 jam selepas penahanan suaminya yang juga bapa tiri kepada dua kanak-kanak terbabit ditahan kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, mengesahkan penahanan ibu kepada dua mangsa itu dan pihaknya kini menyiasat sama ada wanita berkenaan turut terbabit dalam kes dera berkenaan.

"Wanita terbabit bersama suaminya kini direman sehingga 5 Mei untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Media semalam melaporkan, kesan lebam pada pipi kiri dan kanan seorang murid perempuan berusia lapan tahun membongkar keadaannya bersama adiknya yang menjadi mangsa dera bapa tiri mereka.

Kejadian disedari guru kelas mereka selepas ternampak kesan lebam seperti dipukul ketika di dalam kelas di sebuah sekolah di sini, jam 10.15 pagi kelmarin.

Susulan itu, bapa tiri dua beradik itu ditahan jam 3.30 petang di rumahnya di Jalan Sungai Petani kerana disyaki mendera mereka dan hasil ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis Methampetamine.

Berita Harian X